Lebih 30 tahun menanti bekalan air bersih

Ismail gembira mendapat bekalan air bersih kelmarin setelah lebih 30 tahun menunggu.
Ismail gembira mendapat bekalan air bersih kelmarin setelah lebih 30 tahun menunggu.
A
A
A

KOTA BHARU - Setelah lebih 30 tahun berpenat lelah memunggah air selain membelinya setiap hari, akhirnya sepasang suami isteri warga emas di Kampung Tok Puchong, Kedai Buloh mampu menarik nafas lega selepas menerima bekalan air bersih kelmarin.

Bersyukur dengan bekalan air bersih diterimanya itu, Ismail Hamat, 67, berkata, dia tidak perlu lagi berulang-alik dengan motosikal buruknya untuk membeli air di jalan utama sebagai kegunaan keluarganya.

“Paling memenatkan apabila tiba Ramadan dan motosikal rosak. Kadang-kadang cucu saya terpaksa mengayuh basikal sejauh satu kilometer untuk mengambil air di rumah bapa saudaranya.

“Hari ini saya terlalu gembira apabila melihat air keluar dari paip di rumah sendiri. Terima kasih Ya ALLAH kerana meringankan beban kami sekeluarga. Tidak perlu bersusah payah lagi selepas ni,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kesulitan Ismail dan isterinya, Minah Jusoh, 56, berusaha membeli air bersih 30 liter sehari bagi menguruskan dua anak istimewanya, Mohd Suhaimi, 31, dan Ahmad, 39, yang menghidap masalah mental selain tidak boleh bercakap sejak bayi.

Ismail dan isterinya menadah air di tepi rumahnya di Kampung Tok Puchong, Kedai Buloh selepas menerima bekalan air bersih kelmarin.
Ismail dan isterinya menadah air di tepi rumahnya di Kampung Tok Puchong, Kedai Buloh selepas menerima bekalan air bersih kelmarin.

Ismail antara kira-kira 30 keluarga di kampung berkenaan memerlukan bekalan air bersih berikutan sumber air di kawasan berkenaan payau selain berbau.

Difahamkan, setakat ini sembilan keluarga yang membuat pembayaran deposit di kampung berkenaan telah mendapat bekalan air bersih.

Artikel Berkaitan:

Mereka sebelum ini pernah menerima sumbangan air mineral daripada Fresh Life Water Resources serta bantuan Cempaka Merah Asnaf Society.

Mengulas lanjut, Ismail yang menghidap batuk kering itu juga memberitahu, jika sebelum ini dia dan isterinya terpaksa mencatu air dengan mandi sekali sehari namun sekarang dia lega kerana boleh kerap membersihkan badan.

“Dulu mandi dengan air payau, kadang-kadang tidak bilas kerana mahu menjimatkan air untuk dua anak istimewa kami. Syukurlah dan terima kasih kepada yang membantu selama ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, untuk permulaan dia masih perlu membeli air mineral bagi menyediakan susu khas kepada anak istimewanya yang terlantar kerana dikhuatiri mengganggu kesihatannya.