Bayi 18 hari ditinggal ibu kandung

Bayi lelaki berusia 18 hari kini diletakkan bawah jagaan sementara Taman Sinar Harapan, Jitra, Kedah sementara JKM mengesan ibu atau warisnya.
Bayi lelaki berusia 18 hari kini diletakkan bawah jagaan sementara Taman Sinar Harapan, Jitra, Kedah sementara JKM mengesan ibu atau warisnya.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang wanita berusia 20-an dikesan menghilangkan diri sebaik sahaja melahirkan anak di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 31 Oktober lalu.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Noor Liza Azezool berkata, pihaknya cuba menjejaki wanita terbabit di alamat terakhir, namun gagal.

Menurutnya, ketika kejadian, wanita itu telah meninggalkan bayi lelakinya dalam bekas bayi di hospital tersebut yang kini sudah berusia 18 hari.

"Kes ini telah dirujuk oleh kakitangan hospital kepada JKM untuk tindakan selanjutnya.

"Difahamkan, kakitangan HSAH telah mencari wanita terbabit di sekitar kawasan hospital, namun gagal menemuinya," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, JKM juga telah melakukan pencarian di alamat terakhir di Kampung Penghulu Him, Sungai Petani, namun masih gagal menemuinya.

"Dalam masa sama, kita juga sedang mengesan waris kepada bayi tersebut," katanya.

Terdahulu, perintah jagaan sementara telah diperoleh di Mahkamah Sungai Petani mengikut Seksyen 25 (2) Akta Perlindungan Kanak-Kanak selama sebulan bermula semalam sehingga 9 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Ia membolehkan bayi berkenaan diletakkan bawah penjagaan Taman Sinar Harapan, Jitra sementara menunggu ibu atau waris yang sedang dikesan.