Suntikan polio diteruskan walaupun PKPB: Dr Noor Hisham

 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan suntikan empat dos vaksin polio di seluruh klinik kesihatan meskipun negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto 123RF
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan suntikan empat dos vaksin polio di seluruh klinik kesihatan meskipun negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan suntikan empat dos vaksin polio di seluruh klinik kesihatan meskipun negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menyedari terdapat gangguan dalam penjadualan imunisasi berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap pendedahan jangkitan Covid-19 semasa membawa anak keluar.

"Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak bagi penyakit polio masih diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di klinik kesihatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejak Filipina melaporkan wabak polio pada September tahun lalu, KKM mempertingkatkan pengesanan kes di seluruh negara.

"Kita berjaya mengesan empat kes di Sabah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dapat melihat impak positif dengan pelaksanaan kempen imunisasi tersebut.

"Kes terakhir yang disahkan polio dilaporkan pada 10 Mac lalu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pengesanan kes polio melalui Program Pemantauan Kelumpuhan Flaksid Teruk atau 'Survelan Acute Flaccid Paralysis' turut diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati sebanyak 115 kes 'Acute Flaccid Paralysis' yang dikesan sehingga 12 November lalu di seluruh negara disahkan bukan polio," katanya.

Menurutnya, Kempen Imunisasi Polio Sabah dimulakan pada 27 November 2019 membabitkan seramai 820,135 orang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun tanpa mengira kewarganegaraan sehingga 16 November lalu.

"Kanak-kanak itu diberi dua dos vaksin oral polio bivalent, manakala 737,936 orang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun menerima dua dos vaksin oral polio monovalent di seluruh Sabah," katanya.

Beliau berkata, Kempen Imunisasi Polio Labuan pula sudah mula dijalankan sejak 11 Jun lalu.

"Sehingga 16 November lalu, ia membabitkan seramai 24,297 orang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun di Labuan sudah diberikan dua dos vaksin oral polio bivalent," katanya.