X

Kindly register in order to view this article
!

Trump pecat ketua keselamatan pilihan raya 2020

Pengarah Agensi Keselamatan Infranstruktur dan Siber Sekuriti, Chris Krebs dipecat Trump berkuat kuasa serta merta. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memecat ketua keselamatan pilihan raya kerajaan yang menolak dakwaannya bahawa terdapat penipuan besar-besaran dalam pilihan raya Presiden pada 3 November lalu.

Trump mengumumkan menerusi Twitter tentang pemecatan itu dilakukan dan berkuat kuasa serta-merta terhadap ketua keselamatan tersebut, Chris Krebs yang sebelum ini mengaku pilihan raya berkenaan adalah yang paling selamat dalam sejarah AS.

Pada pilihan raya itu, media negara itu mendedahkan bahawa Trump kalah dalam usahanya mengekalkan jawatan Presiden bagi penggal kedua kepada bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat.

Trump daripada parti Republikan yang enggan mengaku kekalahannya berulang kali menyatakan bahawa undi dan pengiraannya dicemari dengan penipuan.

"Kenyataan daripada Chris Krebs baru-baru ini tentang keselamatan pilihan raya 2020 adalah tidak tepat, terdapat penipuan dan kesilapan besar-besaran.

"Justeru, berkuat kuasa dengan segera, Chris Krebs digugurkan sebagai Pengarah Agensi Keselamatan Infrastruktur dan Siber Sekuriti," menurut Trump melalui Twitternya.

Krebs yang dilaporkan memberitahu rakan-rakannya pada minggu lalu bahawa beliau mungkin akan dilucutkan daripada jawatan kelihatan tenang dengan keputusan tersebut berdasarkan kenyataannya di Twitter.

"Berbesar hati untuk berkhidmat. Kami lakukannya dengan betul," kata kenyataannya di Twitter.

Tugas Krebs ialah menghalang sebarang percubaan daripada penggodaman pihak asing dan di dalam AS terhadap mesin undi, mesin pengiraan undi pangkalan data dan lain-lain sistem semasa pilihan raya tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan AS, Adam Schiff berkata, Krebs dan pasukannya bekerja dengan rajin untuk mengawal pilihan raya.

"Daripada memberikan ganjaran terhadap perkhidmatannya yang hebat, Presiden Trump membalas dendam terhadap Pengarah Krebs dan lain-lain pegawai yang menjalankan tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, seorang senator daripada parti Republikan, Ben Sasse berkata, Chris Krebs melakukan tugas yang amat baik dan tidak sepatunya dipecat. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!