Allahyarham Baharom banyak tolong orang - Chamil Wariya

Chamil Wariya
Chamil Wariya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin disifatkan sebagai seorang perancang berita yang baik sehingga mampu meletakkan akhbar yang diterajuinya tersenarai sebagai penerima anugerah tertinggi kewartawanan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, selaku rakan baik dan pernah menjadi pensyarah kepada Allahyarham, potensi yang dimilikinya terserlah sejak bergelar mahasiswa lagi.

"Ketika arwah belajar tahun akhir di Universiti Malaya (UM), saya mengajar beliau bersama 24 pelajar lain bagi Kursus Penulisan Deskriptif. Saya dapati dia suka bertanya yang kadang-kadang saya tak boleh fikir pun.

"Kita boleh dapat lihat jejak arwah dari wartawan kadet sehingga ke ketua pengarang. Arwah seorang perancang berita yang baik.

"Saya ingat lagi apabila arwah jadi Ketua Pengarang akhbar Kosmo, akhbar itu menerima Anugerah Kajai, manakala semasa memimpin Sinar Harian, tahun ini Sinar Harian menang Laporan Berita Cemerlang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Bilal Bin Rabbah, Taman Koperasi Polis di sini hari ini.

Chamil turut menyifatkan Allahyarham Baharom mempunyai sifat keperibadian yang tinggi.

"Beliau seorang yang gigih dan ada pandangan kuat dalam berhujah. Selain itu saya rasa sifat mulia arwah kerana banyak tolong orang," katanya.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar pula menyifatkan pemergian Allahyarham Baharom sebagai kehilangan bintang cemerlang di persada kewartawanan tanah air.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau melihat potensi yang ada pada Allahyarham sejak awal lagi.

Malah, katanya, beliau bertanggungjawab menghantar Allahyarham mewakili Utusan Malaysia ke London meskipun masih dalam kategori wartawan junior pada ketika itu.

"Saya menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu pada tahun 1990-an. Saya melihat potensi yang cukup luar biasa dan arwah adalah antara orang yang patut dibentuk menjadi pemimpin editorial masa depan.

"Saya telah mengambil risiko untuk menghantar arwah sebagai wakil Utusan Malaysia di London melihat kepada komitmen, sikap dan dedikasi luar biasa dalam penulisan serta sifat profesional yang ada pada beliau," katanya.

Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang pula berkata, Allahyarham Baharom telah memainkan peranan yang signifikan dalam industri media dengan penulisan dan kepimpinannya.

Menurutnya, generasi muda industri media perlu mengambil contoh perjalanan karier Allahyarham yang cemerlang agar dunia akhbar boleh kembali bangkit dengan kualiti seperti ditunjukkan semasa hayatnya.

"Selama 25 tahun mengenali beliau, arwah mempunyai keperibadian yang tinggi dan mesra dengan sesiapa saja tak kira peringkat dan dikenali ramai tokoh-tokoh negara.

"Dalam kerja, arwah seorang yang sangat mementingkan kualiti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia

Pemergian Baharom kehilangan besar industri media

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom