'Kesihatan ibu mula terjejas selepas PRN Sabah'

Mohd Ghazalie Sabardin.
Mohd Ghazalie Sabardin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah dilaporkan berada dalam keadaan lemah dan tenat semalam sebelum dibawa ke Hospital Gleneagles.

Beliau yang menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi difahamkan sebelum ini dijangkiti koronavirus (Covid-19) dan sudah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth selama sebulan.

Anak Allahyarhamah, Mohd Ghazalie Sabardin, 27, berkata, tahap kesihatan ibunya mula terjejas selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini dan dipercayai meninggal dunia akibat masalah buah pinggang.

"Selepas PRN, dia ditahan kerana mengalami sakit kaki dan hasil ujian calitan yang pertama adalah negatif. Ujian kali kedua juga negatif tetapi ujian calitan ketiga baru positif dan dia ditahan selama sebulan di hospital.

"Selepas dia ditahan, kondisinya makin teruk dan kami bawa keluar untuk dipindahkan ke Hospital Gleneagles tetapi sebelum itu kami bawa dia rehat di rumah di sini (Kota Kinabalu).

"Tiba-tiba semalam dia macam tenat dan lemah betul, jadi dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Bandaraya di sini hari ini.

Mohd Ghazalie yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik berkata, kali terakhir dia bercakap dengan ibunya ialah pada Ahad lalu.

"Dia masih boleh bercakap dan kali terakhir kelmarin (Ahad) sebab semalam dia masuk ke unit rawatan rapi (ICU), dia sudah tidak boleh bercakap.

Artikel Berkaitan:

"Masa bercakap dengan dia melalui panggilan telefon, dia suruh saya jaga diri dan kesihatan kerana sekarang keadaan bahaya disebabkan Covid-19," katanya.

Sementara itu, ADUN Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kehilangan salah seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) amat dirasai semua pihak.

"Kita ucapkan takziah kepada keluarga, sudah tentu pemergiannya amat terasa bagi kami dalam Warisan.

"Allahyarhamah sangat aktif sejak zaman sekolah sehingga beliau jadi wakil rakyat dan sangat mesra sanggup melayan orang dengan baik.

"Keputusan pilihan raya beliau mendapat majoriti yang tinggi bermakna rakyat di kawasan suka dengannya," katanya.

Terdahulu, beliau dimaklumkan berhubung pemergian Allahyarhamah tengah hari tadi tetapi sudah mengetahui dimasukkan ke hospital semalam.

"Berita ini sudah disampaikan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini sedang menghadiri sidang Parlimen di Kuala Lumpur," katanya.

Jenazah Manis Muka dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Ar Rahim, Kampung Bugaya, Semporna selepas selesai disembahyangkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Bugaya meninggal dunia sakit buah pinggang