Pengurusan KFA terdahulu tipu penyata gaji pemain

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mengesan penipuan penyata gaji pemain skuad Lang Merah yang dilakukan pengurusan KFA terdahulu sehingga menyebabkan persatuan berkenaan menanggung hutang hampir RM5 juta kepada dua badan berkanun.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka dipercayai membuat dua penyata gaji pemain iaitu penyata gaji yang lebih rendah dibuat bagi diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, penyata gaji sebenar yang diberi kepada pemain menyatakan terdapat potongan LHDN dan caruman KWSP dibayar majikan kepada dua pihak terbabit.

"Bagaimanapun, KFA pada waktu itu didapati gagal membayar potongan itu selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan menunjukkan penyata sebenar yang terdapat potongan dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, laporan berkaitan manipulasi penyata gaji terbabit sudah dibuat kepada LHDN dan KWSP serta tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pengurusan lama KFA.

"LHDN dan KWSP ada undang-undang sendiri dan boleh ambil tindakan ke atas orang yang bertanggungjawab dan jadi majikan pada masa itu.

"Akibatnya KFA kini berhutang dan terpaksa bayar hampir RM5 juta kepada badan berkanun terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan: