Warga emas OKU cedera ditumbuk penyamun

Rakaman CCTV menunjukkan suspek cuba merentap beg silang milik mangsa dalam kejadian di Georgetown pada Sabtu lalu.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek cuba merentap beg silang milik mangsa dalam kejadian di Georgetown pada Sabtu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas kurang upaya (OKU) cedera di muka selepas disamun dua lelaki dalam kejadian di Lebuh Cina di sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun dan berkerusi roda sedang berbual dengan rakannya di tepi jalan sebelum dihampiri seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berkenaan cuba merentap beg silang yang dipakai mangsa namun tidak berjaya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian menolak mangsa dan menumbuk muka mangsa beberapa kali.

"Suspek gagal meragut beg silang mangsa dan melarikan diri ke arah rakannya yang sedang menunggu dengan sebuah motosikal.

"Mangsa seorang gelandangan yang patah kaki kiri akibat kemalangan sebelum ini cedera ringan di bahagian muka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Soffian berkata, polis yang menerima laporan kejadian berkenaan menggerakkan operasi memburu suspek sebelum berjaya ditahan kurang daripada satu jam tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurutnya, polis turut merampas motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk lima kes dadah.

"Hasil saringan urin suspek didapati negatif dadah. Suspek bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana menghidap penyakit tibi serta pendarahan dalam perut," katanya.

Beliau berkata, polis masih mengesan seorang lagi suspek terlibat dalam kejadian itu yang masih bebas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan.

Terdahulu, tular di laman sosial video rakaman litar tertutup (CCTV) kejadian berkenaan.

Dalam rakaman CCTV itu, suspek dilihat menumbuk muka lelaki warga emas itu berulang kali selepas gagal mendapatkan beg silang mangsa sehingga mengundang rasa marah rata-rata warganet.