Hutang kerajaan RM874.3 bilion

Abd Rahim
Abd Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan menanggung hutang sebanyak RM874.3 bilion atau 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir September lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, berdasarkan pengiraan had statutori, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 56.6 peratus daripada KDNK.

Menurutnya, ia merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

"Bagaimanapun, kerajaan juga menanggung dan terdedah kepada komitmen kewangan, seperti RM177 bilion, bagi melaksanakan projek infrastruktur antara lain meliputi pengangkutan awam transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

"Selain itu komitmen kerajaan turut merangkumi hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32 bilion sehingga September lalu dan anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM173.3 bilion merangkumi projek-projek Kerjasama Awam Swasta (PPP), Inisiatif Dibiayai Swasta (PFI) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT).

"Contohnya, projek pembangunan Putrajaya, pembinaan kuarters polis, penyelenggaraan fasiliti kerajaan seperti hospital dan jalan.

"Sekiranya mengambil kira defisit fiskal semasa, termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi, kedudukan hutang serta pendedahan liabiliti kerajaan dianggar RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada KDNK pada akhir September lalu," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan M. Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) meminta kementerian menyatakan hutang dan liabiliti kerajaan yang berjumlah RM1.264 bilion pada akhir tahun ini dan apakah langkah kerajaan dalam memastikan jumlah hutang dan liabiliti tersebut tidak menjadi beban kepada generasi akan datang.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahim menjelaskan, kerajaan sentiasa mengambil maklum dan prihatin terhadap kedudukan hutang negara dan bertekad untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang sentiasa terkawal serta tidak membebankan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, dalam situasi semasa, tumpuan khusus kerajaan adalah untuk memulih dan menjana ekonomi khususnya menyokong aktiviti perniagaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

"Sebahagian besar hutang kerajaan adalah hutang domestik (96.7 peratus) iaitu melalui terbitan MSG, MGII dan Bil Perbendaharaan yang pemegang utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) manakala pinjaman luar persisir adalah di tahap rendah iaitu sebanyak RM29.3 bilion, masih di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu RM35 bilion.

"Konsolidasi fiskal dan pengawalan hutang akan dilaksanakan melalui peningkatan hasil, pengukuhan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan," katanya.