X

Kindly register in order to view this article
!

Penjawat awam Pahang dapat bantuan khas RM1,000

Wan Rosdy (berdiri) ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 kerajaan negeri Pahang di Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada 8,000 penjawat awam tanpa pengecualian gred dalam pembentangan Belanjawan 2021 negeri itu hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi bantuan yang pembayarannya akan dibuat sebelum 16 Januari tahun hadapan.

Menurutnya, bantuan khas itu diberikan sebagai menghargai jasa penjawat awam yang menyumbang perkhidmatan terbaik mereka terhadap pentadbiran negeri.

“Diharapkan bayaran bantuan khas kewangan ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang pada tahun akan datang.

"Penjawat awam adalah tulang belakang kepada semua perancangan, pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri. Jadi, jumlah pemberian ini bertambah berbanding tahun lalu yang berjumlah RM750,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 kerajaan negeri Pahang di Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.

Wan Rosdy dalam ucapan tersebut turut menjangkakan kutipan hasil negeri pada tahun hadapan adalah sebanyak RM800.798 juta iaitu peningkatan 7.6 peratus berbanding anggaran bagi tahun ini.

Jelasnya, kutipan hasil tahun 2021 dijangka diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM452.285 juta, hasil perhutanan sebanyak RM165.495 juta, dan hasil air sebanyak RM15.250 juta, geran kerajaan Persekutuan sebanyak RM94.2 juta, dan lain-lain hasil sebanyak RM73.568 juta ringgit.

“Belanjawan 2021 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM800.798 juta, manakala perbelanjaan mengurus pula dijangka sebanyak RM795.466 juta, dengan lebihan sebanyak RM5.332 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggaran perbelanjaan mengurus negeri bagi tahun hadapan telah meningkat sebanyak 7.5 peratus manakala anggaran perbelanjaan bagi meningkat sebanyak 67 peratus berbanding tahun ini.

Tambahnya, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan berjumlah RM795.466 juta bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenakan bayaran tetap, perbelanjaan lain dan aset. Anggaran perbelanjaan mengurus untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak RM55.573 juta atau 7.5 peratus berbanding tahun 2020.

“Bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM201.915 juta. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM109.415 juta dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek bekalan air.

“Secara keseluruhan, anggaran perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak 81.165 juta ringgit atau 67 peratus berbanding tahun 2020,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!