NGO buat laporan polis nafi dakwaan terima dana RM8.6 juta

Nor Hizwan Ahmad
Nor Hizwan Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara Malaysia (PKN) hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda DAP Perak, Steven Chaw, berhubung dakwaan pertubuhan berkenaan menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM8.6 juta.

Pengerusi PKN, Nor Hizwan Ahmad berkata, laporan polis berkenaan dibuat susulan artikel sebuah portal media tempatan yang memetik Steven Chaw, bahawa pertubuhan itu didakwa menerima dana berkenaan dan ahli jawatankuasa akan mendapat sebanyak RM780,000 setiap seorang.

“Saya nafi sekeras-kerasnya. Saya percaya fitnah dan penipuan yang sama telah berlegar di banyak media sosial dan ingin memburukkan reputasi kami selaku badan bukan kerajaan (NGO), yang banyak berurusan dengan komuniti B40 seluruh negara.

“Saya mengesyaki perkara ini dilakukan susulan perbahasan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Parlimen, yang mengaitkan dana itu dengan NGO kami. Ia kemudian dijadikan modal politik pembangkang untuk memburukkan usaha kami dalam membantu masyarakat melalui NGO,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: