Tun M patut berhenti gagalkan usaha PH kembalikan mandat rakyat

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan saja tidak berasas, malah disifatkan sebagai cubaan untuk menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan Dr Mahathir jelas menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.

Menurutnya, Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik di negara ini sejak akhir-akhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.

“Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Ahli Parlimen Port Dickson ini (Anwar) dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat, bukan menggagalkannya.

“Tindakan Dr Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan, seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar mendakwa, rakyat sedia maklum akan kegagalan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan agenda reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara.

“Oleh demikian, dalam usaha Anwar dan pimpinan PH menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas, Dr Mahathir perlu menghentikan tindakan-tindakan beliau yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan PH serta menggagalkan usaha tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan: