X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada bukti penipuan dalam pilihan raya AS

Trump mendakwa sebuah syarikat peralatan pilihan raya telah menghapuskan 2.7 juta undi miliknya. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Beberapa pegawai Persekutuan dan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam menegaskan bahawa tiada bukti terdapat undi yang hilang atau telah diubah dalam pilihan raya itu.

Mereka juga menafikan bahawa sistem pengundian menjadi korup ketika pilihan raya Presiden AS berlangsung di negara itu.

Para pegawai itu yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan pilihan raya di negara tersebut menolak dakwaan yang dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump dan parti Republikan bahawa penipuan dan kehilangan undi menyebabkan beliau kalah kepada calon parti Demokrat, Joe Biden pada pilihan raya minggu lalu.

Pilihan raya Presiden AS itu berlangsung pada 3 November lalu.

"Pilihan raya pada 3 November lalu adalah yang paling selamat dalam sejarah Amerika," kata mereka dalam satu kenyataan.

"Tidak ada bukti bahawa berlaku sistem undi yang hilang, undi diubah atau dalam sebarang cara yang dikompromi," jelas mereka lagi.

"Ketika kami mengetahui terdapat banyak dakwaan yang tidak berasas dan maklumat silap tentang proses pilihan raya kami, kami boleh memastikan kepada anda bahawa kita mempunyai keyakinan tertinggi dari aspek keselamatan dan integriti pilihan raya kami," tambah para pegawai persekutuan dan pegawai pilihan raya tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Majlis Penyelarasan Infranstruktur Pilihan Raya Kerajaan.

Ia merupakan sebuah pertubuhan awam di bawah sebuah badan keselamatan pilihan raya Persekutuan.

Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua-ketua pengarah Persatuan Kebangsaan Pilihan Raya Negara dan Persatuan Kebangsaan Setiausaha Negara iaitu para pegawai yang menguruskan pilihan raya di setiap peringkat.

Ia juga ditandatangani oleh pengerusi Suruhanjaya Membantu Pilihan Raya AS.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump menghantar kenyataan di Twitter dengan mendakwa pembuat sebuah peralatan pilihan raya 'menghapuskan' 2.7 juta undi untuknya di seluruh negara dan mengubah ratusan ribu undinya kepada Biden di Pennsylvania dan beberapa negeri lain.

Ia merupakan dakwaan terbaharu penipuan undi yang dibuat oleh Trump dan anggota Republikan sebagai usaha menolak kemenangan Biden.

Bagaimanapun, syarikat yang membuat peralatan tersebut, Dominion Voting Systems dan Jabatan Negara Pennsylvania menafikan dakwaan Presiden AS itu. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!