X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Jumlah penduduk Malaysia kini 32.69 juta orang

Jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2020 dianggarkan seramai 32.69 juta orang, meningkat 0.4 peratus berbanding suku tahun ketiga pada tahun lepas. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2020 dianggarkan berjumlah 32.69 juta orang dengan peningkatan 0.4 peratus berbanding suku tahun ketiga pada tahun lepas iaitu seramai 32.56 juta orang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut berdasarkan data pendaftaran penduduk semasa yang merangkumi 29.78 juta (91.1 peratus) warganegara dan 2.92 juta (8.9 peratus) bukan warganegara.

Menurutnya, bagi tempoh tersebut, penduduk lelaki adalah seramai 16.82 juta melebihi perempuan, 15.88 juta dengan nisbah jantina 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

"Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun ketiga tahun ini ialah Selangor (20.0 peratus) diikuti Sabah (12.0 peratus) dan Johor (11.6 peratus).

"Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun ketiga 2020.

Mohd Uzir berkata, bagi tempoh sama, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun kepada 7.59 juta berbanding 7.64 juta pada suku ketiga tahun lepas.

"Penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 22.79 juta daripada 22.70 juta (suku tahun ketiga 2019) manakala, penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.22 juta kepada 2.32 juta.

"Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk," kata beliau lagi.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, sebanyak 116,434 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun ketiga 2020 dengan penurunan 5.9 peratus berbanding suku tahun ketiga 2019 (123,751 kelahiran).

Menurutnya, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 60,090 berbanding perempuan, 56,344 kelahiran.

"Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,185 kelahiran (19.1 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (418 kelahiran, 0.4 peratus)," katanya.

Mengenai rekod kematian bagi tempoh sama, Mohd Uzir berkata, sebanyak 43,178 kematian direkodkan dengan peningkatan 1.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2019 (42,757 kematian).

Menurutnya, sejumlah 24,909 kematian adalah lelaki sementara 18,269 kematian perempuan.

"Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,816 kematian (15.8 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 57 kematian sahaja (0.1 peratus)," ujarnya.

Dalam pda itu, Mohd Uzir selaku Pesuruhjaya Banci 2020 turut menyatakan, pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dilakukan dalam dua fasa bertemakan ‘Data Anda Masa Depan Kita’.

Katanya, fasa pertama bermula pada 7 Julai hingga 21 Disember 2020 melalui kaedah banci dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua dari 20 Januari hingga 6 Februari 2021 dengan menggunakan kaedah temu ramah bersemuka.

"Dianggarkan sebanyak sembilan juta tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 dengan melibatkan 32.7 juta penduduk. Sehingga 11 November 2020, sebanyak 16.6 peratus isi rumah telah selesai mengisi e-Census dengan melibatkan 15.6 peratus penduduk.

"Orang ramai dinasihatkan untuk melengkapkan e-Census sebelum tarikh tutup atau pembanci akan ke rumah anda bermula 20 Januari hingga 6 Februari 2021," kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!