Piala Malaysia batal

Ab Ghani ketika melakukan cabutan undian pada pusingan pertama Piala Malaysia 2020.
Ab Ghani ketika melakukan cabutan undian pada pusingan pertama Piala Malaysia 2020.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mencapai kata sepakat untuk mengumumkan pembatalan saingan TM Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, MFL harus akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN yang tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan TM Piala Malaysia 2020.

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL telah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan. Tetapi seperti saya katakan, MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.

“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan.

“Pembatalan tu terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau memberitahu, banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh iala Malaysia yang mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Apapun, saya mewakili bagi pihak MFL ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan saingan Liga Malaysia seperti CIMB Liga Super dan Liga Premier dijalankan sebelum ini.

“MFL juga memberi penghargaan kepada setiap pasukan yang berusaha keras untuk bertanding dalam pertandingan Liga Malaysia iaitu CIMB Liga Super, Liga Premier dan TM Piala Malaysia musim ini dengan mematuhi SOP begitu baik.

“MFL juga tidak lupa kepada penaja-penaja iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB, AirAsia, Nike dan F&N 100Plus yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami ketika berdepan detik sukar ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan Terengganu FC (TFC) yang menduduki tangga ketiga CIMB Liga Super, meraih slot Piala AFC 2021 sejurus pembatalan Piala Malaysia.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa pemenang tempat ketiga CIMB Liga Super iaitu TFC akan mendapat slot Piala AFC 2021,” katanya.