Sila log masuk terlebih dahulu.

Persatuan bas sekolah buat laporan polis terhadap tujuh kementerian

Mohd Rofik (kanan) bersama ahli GPBSM membuat laporan di Balai Polis Rahang, Seremban malam tadi.
Mohd Rofik (kanan) bersama ahli GPBSM membuat laporan di Balai Polis Rahang, Seremban malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) membuat laporan polis terhadap kerajaan dan tujuh kementerian kerana didakwa tidak prihatin dengan nasib pengusaha bas yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, sejak Mei lalu mereka telah menghantar memorandum kepada tujuh kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Bukan Pengguna.

Bagaimanapun, katanya, semua memorandum berkenaan tidak dipedulikan pihak terbabit.

"Tiada sebarang tindakan diambil terhadap surat-surat yang kami serahkan. Ia terbukti bila pembentangan Belanjawan 2021 lalu, tidak ada langsung menyentuh tentang nasib pengusaha pengangkutan awam melainkan pengecualian cukai untuk pembelian bas baharu.

"Inisiatif itu tidak beri apa-apa keuntungan dan faedah kepada kami pun. Nak beli bas baharu macam mana, sedangkan bas sedia ada pun kami tak mampu bayar," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Rahang di sini malam tadi.

Sehubungan itu, Mohd Rofik meminta kerajaan supaya mengkaji semula belanjawan dibentangkan dan memohon supaya moratorium dilanjutkan sehingga keadaan Covid-19 benar-benar pulih dan sistem ekonomi negara kembali berjalan seperti biasa.

Menurutnya, keadaan yang terjejas bukan sahaja memberi kesan kepada nasib pengusaha bas sekolah, tapi industri pengangkutan keseluruhannya.

"Kami tak minta duit. Tapi minta kerajaan campur tangan soal moratorium. Kami sudah rasa cukup tertekan. Adakah mahu tengok kami diisytiharkan muflis baru mahu bantu," katanya.

Artikel Berkaitan: