X

Kindly register in order to view this article
!

Saman: Polis kesal video klip putar belit fakta

Tangkap layar video yang tular ketika anggota trafik mengeluarkan saman ke atas pemandu yang menggunakan telefon bimbit dengan tangan kiri semasa memandu di Jalan Dato Md Zain, Melaka Tengah semalam.
A
A

MELAKA TENGAH - Tindakan individu yang menyebarkan klip video mempertikai anggota polis mengeluarkan saman terhadap seorang pemandu kereta adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Video berdurasi 30 minit itu tular sejak petang semalam dipercayai selepas dimuat naik seorang pengguna Facebook yang didakwa sengaja memalukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain memberi maklumat yang tidak tepat mengenai kejadian sebenar sehingga mendapat pelbagai komen netizen.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri berkata, pihaknya yang kesal dengan tindakan individu memutar belit fakta itu akan membuat laporan berhubung penyebaran klip video tersebut.

Menurutnya, laporan polis akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun jika terbukti berlakunya fitnah, siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, video dipercayai disebarkan di media sosial Facebook oleh individu yang mempersoalkan saman trafik dikeluarkan terhadapnya di Jalan Dato Md Zain di sini pada jam 11.08 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, sarjan polis itu menahan sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dipandu oleh seorang lelaki yang membawa penumpang wanita atas kesalahan menggunakan telefon ketika memandu.

Hasan menunjukkan saman yang dikeluarkan ke atas pemandu tersebut atas kesalahan menggunakan alat komunikasi walaupun dijelaskan OP melihatnya menggunakan telefon bimbit dengan tangan kiri semasa memandu.
Hasan menunjukkan saman yang dikeluarkan ke atas pemandu tersebut atas kesalahan menggunakan alat komunikasi walaupun dijelaskan OP melihatnya menggunakan telefon bimbit dengan tangan kiri semasa memandu.

Hasan berkata, kesalahan yang dilakukan pemandu itu dilihat anggota pemerhati (OP) kira-kira 250 meter sebelum lokasi sekatan jalan raya (SJR) dan melaporkannya kepada sarjan berkenaan untuk diambil tindakan.

Menurutnya, semasa kereta tersebut ditahan, pemandu lelaki itu menafikan menggunakan alat komunikasi walaupun dijelaskan OP melihatnya menggunakan telefon bimbit dengan tangan kiri semasa memandu.

Ketika saman dikeluarkan, wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan merakam video sarjan terbabit yang sedang mengeluarkan saman.

"Pemandu terbabit juga enggan menandatangani notis saman yang dikeluarkan menyebabkan sarjan terbabit terpaksa mencatatkan ETT (enggan tanda tangan) pada notis saman sebelum menyerahkannya kepada pemandu terbabit," katanya.

Bagaimanapun pada jam 7.17 malam, polis mengenal pasti penularan video sarjan terbabit yang dipercayai disebarkan seorang lelaki di media sosial Facebook yang memutar belit kenyataan.

Menurutnya, status dikeluarkan itu diputar belit dengan mengatakan sarjan tersebut mengeluarkan saman kerana penumpang sebelah kiri menggunakan alat komunikasi.

"Kita juga menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya merakam dan menyebarkan video yang boleh mengelirukan orang ramai kerana perbuatan mereka itu boleh berdepan tindakan undang-undang," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!