Rabies di Sarawak ragut satu lagi nyawa

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berusia 42 tahun maut di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat dijangkiti virus rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki itu meninggal dunia pada jam 6.53 pagi pada 20 Oktober lalu selepas disahkan dijangkiti virus itu melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tarikh sama.

Menurutnya, individu itu dimasukkan ke HUS pada 15 Oktober selepas mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan selain kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum.

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku dalam kes ini. Dia ada memelihara tujuh ekor kucing dengan lima daripadanya mendapat suntikan vaksin anti-rabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sehari selepas mengalami gejala.

“Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes penyakit itu yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada lima bagi tahun ini dan kes ke-27 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

Beliau berkata, walaupun kes terbabit tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies disebabkan gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies.

“Sarawak masih belum bebas rabies. Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies.

Artikel Berkaitan:

“Orang awam dinasihati segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun haiwan peliharaan.

"Selepas mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur,” katanya. - Bernama