Punca pencemaran bau disyaki tindakan sabotaj

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengesyaki insiden pencemaran bau sehingga menyebabkan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor dipercayai berpunca daripada tindakan sabotaj.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, menerusi siasatan dilaksanakan oleh pihak berkaitan di lokasi berkenaan mendapati pencemaran itu berpunca daripada loji kumbahan Indah Water Konsortium di Taman Velox, Rawang.

Beliau berkata, insiden pencemaran itu juga didapati berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi memandangkan dalam tempoh sebelumnya, bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah merekodkan bacaan 0 TON.

"Pada jam 2 pagi hingga 6 pagi, bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah adalah 0 TON dan kejadian ini mungkin berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi.

"Disebabkan itu, kita syaki ada unsur sabotaj dalam insiden kali ini kerana tinjaun mendapati berlaku pembuangan cecair pelarut di dalam lubang kumbahan IWK," katanya ketika perbahasan usul peruntukan pembangunan Belanjawan Selangor 2021 sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan mengenai insiden pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas di LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang.

Penutupan empat LRA berkenaan berlaku hanya dalam tempoh 24 jam selepas DUN Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air, semalam.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis selepas ini bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Sampai sekarang empat LRA berkenaan masih ditutup dan usaha sedang dilaksanakan oleh LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menangani permasalahan ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 1.13 juta akaun pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor

[VIDEO] Empat loji rawatan air di Selangor dihenti tugas