Trump pecat Setiausaha Pertahanan Mark Esper

Donald Trump, Mark Esper
Donald Trump, Mark Esper
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada semalam berkata, beliau telah memecat Setiausaha Pertahanan Mark Esper.

"Mark Esper telah diberhentikan," kata Trump menerusi Twitternya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas perkhidmatannya."

Presiden berkata Christopher Miller, Pengarah Pusat Pencegahan Keganasan Nasional, akan bertindak sebagai Pemangku Ketua Pentagon "berkuat kuasa serta-merta."

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas seorang jurucakap mengatakan Esper "tidak memiliki rancangan untuk mengundurkan diri, dan beliau juga tidak diminta untuk menyerahkan surat peletakan jawatan."

Esper, 56, mula memimpin Jabatan Pertahanan AS pada pertengahan 2019 setelah berkhidmat sebagai Setiausaha Tentera Darat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pegawai Pentagon itu tidak sependapat dengan Rumah Putih dalam beberapa perkara.

Miller, 55, dilantik sebagai pengarah Pusat Pencegahan Keganasan Nasional, yang diselaraskan di bawah Pejabat Pengarah Perisikan Nasional pada Ogos tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Miller bertugas sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan untuk operasi khas dan memerangi keganasan.

Setiausaha Pertahanan pertama pentadbiran Trump, James Mattis meletak jawatan pada akhir 2018 kerana tidak bersetuju dengan dasar presiden.

Pada Mei 2019, Trump mengumumkan hasrat untuk menjatuhkan Patrick Shanahan, setiausaha pertahanan ketika itu untuk memimpin jabatan itu secara rasmi tetapi keputusan itu dibatalkan sebulan kemudian apabila Shanahan mengatakan beliau akan menarik diri.

Di dalam kerajaan persekutuan AS, Setiausaha Pertahanan mengawasi Jabatan Pertahanan dan bertindak sebagai pembuat dan penasihat dasar pertahanan utama. - Bernama