Detik-detik terakhir ketika Trump kalah

Trump enggan mengaku kalah dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.
Trump enggan mengaku kalah dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.
A
A
A

BULU kening Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelihatan berkerut ketika beliau berseorangan di padang golf miliknya berhampiran dengan Washington D C pada Sabtu lalu.

Itu gambaran fizikal pada hujung minggu lalu selepas kekalahannya kepada bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat pada pilihan raya Presiden negara itu.

Hari Sabtu pada jam 8.20 pagi adalah hari yang dipenuhi dengan ketegangan berikutan pemenang pilihan raya Presiden AS yang berlangsung pada 3 November lalu masih belum diketahui, namun Trump menggunakan aplikasi Twitter untuk menentang ramalan tentang kekalahannya.

Ketika keputusan semakin hampir untuk diketahui, beliau memulakan hari dengan satu kenyataan berunsurkan kemarahan dan penafian tentang kekalahannya.

Kenyataan terakhirnya sebelum rangkaian televisyen AS mengisytiharkan kemenangannya kepada Biden ialah, "Saya memenangi pilihan raya ini dengan undi yang banyak!"

Pada jam 10 pagi hari yang sama, rombongan kenderaan Trump meninggalkan Rumah Putih di bawah langit berwarna biru dan Presiden AS itu keluar dari kediamannya itu buat pertama kali selepas malam Selasa lalu.

Dengan memakai seluar panjang dan jaket berwarna kelabu serta topi putih dengan tertera ayat 'Jadikan Amerika Kembali Hebat', Trump kemudian tiba di kelab golf miliknya di Sterling, Virginia.

Dari tepi sebatang jalan, ketika rombongan kenderaannya bergerak, seorang individu memegang poster yang tertera perkataan 'Berambuslah'.

Artikel Berkaitan:

Keputusan untuk bermain golf ketika sebahagian besar rakyat Amerika dan di dunia berada dalam ketegangan berhubung siapa pemenang dalam pilihan raya Presiden AS itu kemungkinan dianggap oleh ramai pihak sebagai suatu perbuatan yang ganjil.

Dalam pada itu, jurugambar turut merakamkan gambar Presiden tersebut dari jarak jauh di kelab golf tersebut.

Trump juga seorang pemain golf yang mahir kemudian dilihat menaiki sebuah kereta kecil golf berwarna putih.

Selepas itu, beliau kembali ke rumah kelab golf dan bergambar dengan sepasang pengantin yang baru berkahwin.

Bagaimanapun, tidak ada gambar yang menunjukkan detik-detik beliau mengetahui tentang kekalahannya disebarkan di sekitar dunia.

Sementara itu, satu kenyataan daripada pasukan kempennya yang jelas disediakan lebih awal menegaskan Trump memenangi pilihan raya tersebut dan mendakwa Biden terlalu pantas mengumumkan kemenangannya.

Selepas berada lebih empat jam di kelab golf itu di Virginia, rombongan kenderaan Trump kembali ke Rumah Putih.

Trump (kanan) bermain golf di kelab golfnya di Sterling, Virginia pada Sabtu lalu. - Foto AFP
Trump (kanan) bermain golf di kelab golfnya di Sterling, Virginia pada Sabtu lalu. - Foto AFP

Beliau menempuh satu cabaran iaitu perlu bergerak melalui sekumpulan orang ramai memenuhi jalan raya bagi meraikan kemenangan Biden di sekitar Rumah Putih termasuk sebahagiannya bertepuk, bersorak dan ada yang membunyikan hon kenderaan.

Rumah Putih terletak di tengah Washington D C iaitu kawasan yang dimenangi Biden dengan memperoleh 93 peratus undi berbanding Trump yang hanya mendapat 3 peratus undi pada pilihan raya Presiden 3 November lalu.

Trump sempat melambaikan tangan ke arah media ketika berdiri di luar sebuah pintu masuk ke Rumah Putih.

Sementara itu, di rangkaian televisyen AS, Trump yang suka menonton televisyen menyaksikan orang ramai meraikan sambutan besar-besaran kemenangan Biden dengan memenuhi jalan-jalan raya di bandar raya besar di negara itu.

Dalam pada itu, Plaza Black Lives Matter yang terletak berhampiran Rumah Putih bertukar suasana bagaikan seperti satu pesta.

Lewat hari itu, Trump sekali lagi menyatakan kemarahannya menerusi Twitter dengan membuat kenyataan, "Saya memenangi pilihan raya, mendapat 71,000,000 undi sah."

Beliau kemudian membuat satu lagi kenyataan bahawa, "(Undi) yang paling banyak untuk seorang Presiden."

Pada pagi Ahad pula, Trump masih tidak menghubungi pencabarnya daripada parti Demokrat itu untuk memberikan ucapan tahniah kerana menang pilihan raya Presiden AS sedangkan ia menjadi satu tradisi di negara itu sebelum ini.

Trump berjalan menuju ke kenderaannya di Rumah Putih, Washington D C pada Ahad lalu. - Foto AFP
Trump berjalan menuju ke kenderaannya di Rumah Putih, Washington D C pada Ahad lalu. - Foto AFP

Sebaliknya, beliau mengulangi suasana seperti pada hari Sabtu iaitu melepaskan kemarahan menerusi Twitter dengan mengadu berlaku penipuan undi tanpa disertakan dengan sebarang bukti dan kembali semula ke Virginia untuk bermain golf.

Pergi semula untuk bermain golf dan kembali ke Rumah Putih, Trump terpaksa melalui sejumlah penyokong Biden dengan sebahagiannya memegang poster yang tertera ayat-ayat yang tidak disenangi Presiden AS di sepanjang jalan raya.

Dengan tiada kenyataan mengaku kalah daripada Trump, Rumah Putih juga tidak menyatakan mengenai rancangan beliau untuk peralihan kuasa mulai sekarang hingga 20 Januari 2021 apabila Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden yang ke-46.

Presiden AS itu kini kelihatan mempunyai beberapa penyokong kuat yang lantang menyokongnya untuk meneruskan tuntutan undang-undang ke atas keputusan pilihan raya.

Tuntutan undang-undang itu mempunyai peluang yang sedikit untuk menang.

Seorang penyokong kuatnya, Senator Lindsey Graham berkata pada awal Ahad lalu berkata, "Jangan mengaku kalah Tuan Presiden". - AFP