Agong zahir takziah kepada keluarga Mohamad Bakar

Legenda bola sepak dan Olimpik negara, Datuk Mohamad Bakar yang meninggal dunia pagi tadi.
Legenda bola sepak dan Olimpik negara, Datuk Mohamad Bakar yang meninggal dunia pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda bola sepak dan Olimpik negara, Datuk Mohamad Bakar yang meninggal dunia hari ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

"Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara," demikian menurut kenyataan itu.

Mohamad memulakan karier sebagai pemain Pulau Pinang pada sekitar 1960-an dan menyinari persada sukan bola sepak negara sebagai pemain kebangsaan pada era 70-an.

Allahyarham merupakan pemain sayap kanan skuad bola sepak kebangsaan yang berjaya layak ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Beliau pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 1985. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Legenda bola sepak negara meninggal dunia

Artikel Berkaitan: