Jaket keselamatan jadi penyelamat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jaket keselamatan yang dipakai menjadi penyelamat kepada tiga lelaki selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Kampung Lagaton, Pitas petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa ditemui selamat oleh bot orang kampung berhampiran Pulau Malawali, Kudat pada jam 7.30 pagi tadi.

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Helmi Sadron, 28, Mohamad Sahibi, 58 dan Ansar Kirinoh, 34.

"Mangsa menaiki satu bot setelah selesai membeli barang keperluan di Karakit, Pulau Banggi pada lebih kurang 2.30 petang semalam dan menuju ke Kampung Lagaton.

“Ketiga-tiga mangsa ini telah selamat kerana memakai jaket keselamatan sebelum keluar ke laut, pemakaian jaket keselamatan amatlah penting untuk keselamatan dan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Sabah telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 6 petang semalam, sebelum operasi berkenaan ditamatkan pada 8 pagi selepas semua mangsa ditemui.

"Maritim Malaysia menasihatkan semua komuniti maritim untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri sebelum memulakan sebarang aktiviti di laut," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: