Panglima ATM, Timbalan KPN dahului senarai pingat

Mohd Zahidi menunjukkan kenyataan akhbar dan senarai penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sidang media di Laman Seri Ridzuan, Ipoh semalam. - Foto Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Mohd Zahidi menunjukkan kenyataan akhbar dan senarai penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sidang media di Laman Seri Ridzuan, Ipoh semalam. - Foto Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Kedua-dua mereka dianugerahkan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim pula merupakan penerima tunggal bagi Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak tahun ini, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 11 orang penerima.

Mereka ialah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Tan Sri Nordin Kardi; Pakar Perunding Kanan Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr A Aruku Naidu; Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan, Adzman Talib dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Ishak Abd Rahman.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Bahari Belaton; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Profesor Dr Mohamad Hashim; Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz; Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) Kementerian Luar, Chuah Teong Ban; Pakar Perunding Jabatan Surgeri Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Kwan Mun Keong dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Dr Saunthari Dharmalingam.

Mohd Zahidi (kiri) bersama Ahmad Suaidi pada sidang media berkenaan Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak di Laman Seri Ridzuan, Ipoh semalam. - Foto Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Mohd Zahidi (kiri) bersama Ahmad Suaidi pada sidang media berkenaan Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak di Laman Seri Ridzuan, Ipoh semalam. - Foto Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Bagi penerima Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) pula, seramai lima penerima dipilih yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid; Ketua Pengarah Cawangan Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan Markas Angkatan Tentera (ATM), Brigedier Jeneral Ir Anhar Anuar; Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dan Pengarah Kesihatan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Markas ATM, Brigedier Jeneral Dr Nor Azam Jais.

Selain itu, seramai sembilan orang penerima bagi Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 15 orang penerima bagi Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) dikurniakan kepada sembilan orang penerima.

Artikel Berkaitan:

Manakala bagi Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) pula diberikan kepada 25 orang penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 27 orang penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 38 orang penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada lima orang penerima.

Sementara itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, jumlah penerima keseluruhan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun ini berjumlah 147 orang penerima.

Menurutnya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun terhad berbanding jumlah penerima pada tahun-tahun sebelumnya.

Jelasnya, hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria ditetapkan sahaja mendapat perkenan Sultan Nazrin untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini.

"Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun ini juga adalah tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk berjuang menentang dan mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 terutama di negeri Perak.

"Pengurniaan ini diharapkan akan dapat menyuntik dan menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan secara keseluruhannya untuk terus berjuang demi untuk memastikan keselamatan rakyat Perak dari jangkitan wabak pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini semalam.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Ahmad Suaidi.

Mohd Zahidi berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian kerana bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa penularan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, katanya, kesemua gelaran yang dikurniakan itu boleh digunakan secara rasmi oleh penerima berkuat kuasa 6 November 2020.

Beliau berkata, berdasarkan kepada perkembangan semasa penularan wabak pandemik Covid-19, acara-acara rasmi utama bersempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Perak seperti Majlis Santapan Diraja, Istiadat Kawalan Kehormatan serta Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Menjunjung Duli terpaksa ditangguhkan.