Bekas pengurus kilang mengamuk sebelum maut dilanggar treler

Suspek yang memandu kereta jenis Honda Civic bertindak merempuh kawasan kilang hingga menyebabkan kerugian RM1 juta. Gambar kecil: A Asmadi - Foto JBPM Perak dan ihsan pembaca
Suspek yang memandu kereta jenis Honda Civic bertindak merempuh kawasan kilang hingga menyebabkan kerugian RM1 juta. Gambar kecil: A Asmadi - Foto JBPM Perak dan ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Berang akibat digantung kerja, seorang bekas pengurus bertindak merempuh masuk kawasan kilang dengan memandu kereta jenis Honda Civic di Kawasan Perindustrian Chemor di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.42 petang tadi, lelaki berusia 52 tahun itu turut melakukan khianat dengan terus memandu merempuh pejabat kilang hingga menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek memandu kereta tersebut dengan terus merempuh ke dalam bahagian fasa 1 kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu utama.

"Selepas kereta berhenti, suspek telah membaling botol petrol ke dalam pejabat sumber manusia sebelum dia kembali memandu dengan merempuh bilik 'Production Labelling Department' sehingga menyebabkan kebakaran.

"Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pengawal keselamatan dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada pekerja kilang lain," katanya.

Menurutnya, suspek tidak membawa sebarang senjata dalam kejadian itu.

"Selepas melakukan perbuatan khianat tersebut, suspek telah beredar meninggalkan kawasan kilang melalui pintu utama dengan berjalan kaki menghala ke arah kiri kilang.

"Pasukan bomba tiba bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya. Anggaran kerugian yang dialami oleh pihak kilang adalah lebih kurang RM1 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

A Asmadi berkata, polis kemudiannya menerima laporan kemalangan maut melibatkan suspek pada jam 7.45 petang di Jalan Kuala Kangsar di depan kawasan Perindustrian IGB Tasek.

"Suspek disyaki dilanggar sebuah treler ketika dalam perjalanan melarikan diri dari tempat kejadian. Saksi awam menyatakan suspek seolah-olah sengaja melintas jalan ketika kejadian.

"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan punca kejadian dipercayai suspek tidak puas hati atas penggantungan kerja atas alasan masalah disiplin, September lalu," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.