51,816 veteran ATM terima Elaun Kenangan PJM

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 51,816 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima bayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 bermula 5 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran secara ‘one-off’ itu adalah untuk Fasa Tiga serta Empat dan akan dikredit ke dalam akaun bank masing-masing.

Beliau berkata, fasa pertama dan kedua pembayaran Elaun Kenangan PJM pada Februari dan Mac 2020 kepada 70,000 penerima telah selesai yang melibatkan peruntukan RM35 juta.

"Kita dah bayar semua kepada 70,000 (penerima PJM). Walau bagaimanapun, selepas kita membuat bayaran, ramai lagi yang mendaftar.

“Jadi, ramai yang tak puas hati kenapa dia tak dapat kerana bajet adalah untuk 70,000 (penerima) yang berdaftar ketika itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembayaran Elaun Kenangan PJM kali ini melibatkan peruntukan berjumlah RM25.9 juta khusus bagi mengenang jasa dan pengorbanan veteran ATM yang menegakkan keamanan serta kedaulatan negara semasa tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 1990. - Bernama

Artikel Berkaitan: