Kedah mohon pampasan khas bukan satu ugutan

Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan kerajaan Kedah yang memohon peruntukan pampasan khas di atas pengorbanan negeri ini menyediakan kawasan tanah sawah bagi menjamin bekalan beras negara bukanlah satu ugutan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau hanya membangkitkan kembali cadangan yang pernah disuarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa lawatannya ke Kedah.

Menurutnya, pengorbanan yang telah dilakukan oleh Kedah khususnya dalam menjadi negeri pengeluar beras terbesar negara wajar dihargai oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kalau ayat ugutan macam ini, kalau kerajaan tak bagi RM170 juta, saya akan menimbus semua bendang-bendang buat rumah, saya rasa ayat saya tak ada pun benda tu.

"Kedua memang perkara ini telah dibangkitkan sejak sekian lama, bukan pada zaman saya. Dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 memang ada dinyatakan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Saiful Izham Ramli melalui akaun Facebook miliknya hari ini yang melihat cadangan Muhammad Sanusi sebagai suatu 'short-term solution' dan bersifat 'mengugut'.

Menurut Saiful, cadangan Menteri Besar Kedah itu tidak akan membawa manfaat dan kesan yang ketara bagi membangunkan ekonomi rakyat secara jangka panjang dan menyeluruh.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi menjelaskan pihaknya akan memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan menyediakan peruntukan pampasan khas buat negeri Kedah dalam Belanjawan 2021 berikutan pengorbanan negeri itu menyediakan kawasan tanah sawah untuk menjamin bekalan beras negara termasuk mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan hujan.

Artikel Berkaitan: