Belanjawan 2021: Beri tumpuan nasib pelajar IPTS

Sepanjang pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, pelbagai isu terpaksa ditempuhi oleh para pelajar dan pengurusan IPTS khususnya dalam normal baharu pembelajaran.
Sepanjang pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, pelbagai isu terpaksa ditempuhi oleh para pelajar dan pengurusan IPTS khususnya dalam normal baharu pembelajaran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) berharap kerajaan akan memberi penumpuan terhadap nasib kira-kira 600,000 pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan usahawan pendidikan Bumiputera.

Presidennya, Amir Hamzah Md Isa berkata, Bajet 2021 ini wajar bersifat inklusif dan mampan memandangkan lebih 51 peratus daripada keseluruhan 1.3 juta pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 443 buah IPTS di seluruh negara yang menyediakan akses pendidikan tinggi tanpa bergantung kepada dana kerajaan sama ada pembangunan mahupun perbelanjaan mengurus.

Katanya, sepanjang pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, pelbagai isu terpaksa ditempuhi oleh para pelajar dan pengurusan IPTS khususnya dalam normal baharu pembelajaran.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara online merupakan pendekatan terbaik dalam melandaikan lengkuk kes jangkitan Covid-19 namun terdapat kekangan terutama melibatkan akses dan data internet dalam kalangan pelajar.

“Justeru, melalui Bajet 2021 ini, PKIBM berharap kerajaan dapat memperluaskan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar-pelajar di IPTS.

"Langkah ini akan membantu pelajar IPTS mendapat akses internet secara menyeluruh, stabil dan mudah dengan percuma atau dengan kadar caj yang sangat minimum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperkenalkan dana khas bagi pembelian komputer riba kepada pelajar daripada keluarga B40 dan skim pinjaman mudah kepada semua pelajar yang masih tidak mempunyai peranti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Amir Hamzah Md Isa
Amir Hamzah Md Isa

“Kerajaan juga diharap dapat menyediakan dana khas RM50 sebulan bagi pelajar daripada keluarga B40 selama 12 bulan bagi tujuan pembelian data telefon mudah alih untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Pada masa sama, kerajaan dicadangkan supaya mewujudkan geran RM500,000 bagi setiap IPTS Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi di kampus dan pusat pembelajaran.

"Insentif ini akan membantu usahawan pendidikan Bumiputera yang terlibat meningkatkan kualiti kandungan pengajaran, prasarana internet di kampus sekali gus membudayakan PnP secara dalam talian,” katanya.

Ujarnya, sejak Mac lalu, berlaku penurunan kadar kemasukan pelajar baharu yang sangat ketara di semua IPTS Bumiputera iaitu sehingga 60 peratus, berbanding tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.

“Pandemik Covid-19 turut memberi tekanan kepada sosioekonomi masyarakat dan banyak keluarga dalam kelompok B40 bersikap berhati-hati untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk pendidikan tinggi anak masing-masing.

“Melalui Bajet 2021, kerajaan boleh mengembalikan semula kadar asal pinjaman PTPTN kepada pelajar iaitu RM4,000 untuk satu semester.

"Selain itu, PTPTN diminta menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA.

“Langkah ini secara langsung akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung keluarga lepasan SPM yang mendaftar di IPTS,” katanya.

Tambah beliau, sebagai persatuan yang menaungi 45 IPTS bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej yang diuruskan sepenuhnya oleh usahawan-usahawan pendidikan Bumiputera, PKIBM amat berharap kerajaan dapat membantu meringankan tekanan kewangan yang dihadapi sejak beberapa bulan yang lalu.

“Kerajaan diharap memperluaskan inisiatif Penjana KPT-CAP kepada semua IPTS Bumiputera. Selain menyumbang kepada meningkatkan kebolehan pasaran graduan di IPTS, penyertaan IPTS Bumiputera dalam melaksanakan program 'Upskilling & Reskilling' graduan mampu memberi kesan yang sangat signifikan ke atas aliran tunai IPTS yang terlibat.

“Pada masa sama, kerajaan diharap untuk meneruskan kemudahan pembiayaan Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (SPiM Penjana) yang ditawarkan oleh Mara memandangkan pandemik ini dijangka berterusan untuk satu tempoh yang agak lama.

“PKIBM mencadangkan SPiM Penjana diperluas dengan jumlah pembiayaannya ditambah maksimum sehingga RM5 juta bagi setiap IPTS Bumiputera yang berkelayakan.

"IPTS Bumiputera yang tidak sempat memohon sebelum ini dan yang masih memerlukan pembiayaan tambahan boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Bagi membantu kelompok pelajar Bumiputera pula katanya, kerajaan diharap dapat menawarkan semula pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar berkelayakan yang mendaftar mengikuti program peringkat diploma di IPTS Bumiputera dalam bidang-bidang kritikal.