Belanjawan 2021: Kedah mohon pampasan khas

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berharap agar kerajaan Pusat menyediakan peruntukan pampasan khas berikutan pengorbanan negeri itu menyediakan kawasan tanah sawah untuk menjamin bekalan beras negara, selain pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan hujan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya memohon agar cadangan itu dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021 kerana kesanggupan kerajaan negeri tidak menukarkan tanah pertanian kepada tanah komersial yang boleh mendatangkan hasil cukai lebih tinggi.

"Diharap kerajaan pusat dapat memperuntukkan sebanyak RM130 juta setahun untuk Kedah bagi pengekalan hutan simpan, manakala tanah-tanah pertanian yang dikhususkan untuk tanaman padi jika diubah syarat komersial mampu meningkatkan kutipan cukai tanah sehingga kira-kira RM1.7 bilion.

"Jadi untuk guna tanah bagi penghasilan beras untuk negara, kita harap kerajaan Persekutuan hargai pengorbanan Kerajaan Kedah dan memperuntukkan bayaran khusus 10 peratus daripada nilai cukai itu (RM170 juta)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, selain menyediakan bekalan air untuk rakyat negeri ini, kawasan tadahan di Hutan Simpan Ulu Muda turut membekalkan air bagi tujuan tanaman, kegunaan domestik dan industri untuk Pulau Pinang serta Perlis, melalui tiga empangan utama iaitu Pedu, Ahning serta Muda.

Sehubungan itu, katanya, penyediaan sebahagian besar kawasan tanah di Kedah sebagai sumber air dan tanah pertanian untuk bekalan makanan negara wajar mendapat pampasan yang setimpal.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, Kedah juga memerlukan peruntukan khusus untuk 'mencergaskan' sektor ekonomi termasuk pertanian, pembinaan, pelancongan, peniaga kecil, perniagaan dalam talian serta peruncitan.

"Bagi sektor pertanian misalnya, kita berharap supaya ada mekanisme dan dana khas untuk penstabilan harga komoditi seperti getah misalnya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu peruntukan benih yang mencukupi dan berkualiti sangat penting bagi meningkatkan penghasilan padi, manakala bantuan untuk ternakan ayam, itik, lembu, kambing perlu disalurkan kepada golongan B40 yang berkelayakan," katanya. - Bernama