Maszlee kemuka lima cadangan bantu pendidikan negara

Kenyataan Maszlee yang mengemukakan lima cadangan untuk pendidikan negara dalam Belanjawan 2021
Kenyataan Maszlee yang mengemukakan lima cadangan untuk pendidikan negara dalam Belanjawan 2021
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengemukakan lima cadangan yang perlu diambil kira oleh kerajaan bagi sektor pendidikan dalam Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Jumaat ini.

Dalam satu kenyataannya hari ini, antara golongan yang dilibatkan dalam cadangan beliau ialah guru, pengusaha kantin, pelajar sekolah dan pengajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagi golongan guru, Maszlee berkata mereka perlu diberikan elaun khas untuk tempoh enam bulan memandangkan terdapat kos tambahan yang perlu ditanggung semasa melakukan proses pengajaran di rumah.

"Elaun khas ini akan membantu meringankan beban guru yang terpaksa menambah baik ‘connectivity’ dan peralatan digital mereka di rumah.

"Ia juga akan membantu para guru merangka kurikulum yang lebih inovatif ketika pandemik koronavirus (Covid-19) ini berlaku, terutamanya apabila kaedah pedagogi arus perdana sudah tidak lagi sesuai,” katanya.

Dalam usaha mengelakkan keciciran bagi pelajar-pelajar miskin, Maszlee berkata kerajaan seharusnya memberikan insentif kepada keluarga miskin yang menghantar anak ke sekolah ketika tempoh pandemik Covid-19.

Ini kerana menurutnya, ada kajian menunjukkan sebilangan besar murid sekolah mula hilang minat ke sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tempoh hari.

“Terdapat satu kajian mendedahkan selepas berlaku gempa bumi di Pakistan pada 2005, ketidakhadiran murid ke sekolah selama 14 minggu boleh menyebabkan anak-anak kehilangan pembelajaran seolah-olah 2 tahun lamanya.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, insentif khas ini akan memastikan keluarga yang terjejas mampu menghantar anak-anak tersebut kembali ke dalam sistem pembelajaran mereka. Langkah ini akan menyelamatkan hampir 1.2 juta anak-anak seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pelajar yang datang daripada keluarga miskin juga perlu mendapatkan bantuan makanan berkhasiat kerana ramai di antara mereka ketika ini tidak mendapat akses kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akibat penutupan sekolah semasa PKP.

Jelasnya, situasi tersebut sekiranya berterusan berpotensi untuk menjejaskan tumbesaran lebih 2.6 juta murid di seluruh negara yang bergantung untuk mendapatkan makanan berkhasiat daripada program berkenaan.

Pada masa yang sama, Maszlee turut mencadangkan agar pemberian geran khas IPTA bagi membantu para pensyarah mengatasi kekangan dalam penyediaan bahan pengajaran berkualiti untuk pembelajaran dalam talian.

“Geran ini membolehkan para pensyarah membangunkan bahan berkualiti melalui kerjasama swasta dan universiti terkemuka di luar.

“Pembinaan bahan pengajaran berkualiti akan membantu lebih dari 35,000 para pensyarah di seluruh negara mengajar dengan lebih berkesan terutamanya ketika PKP,” katanya.

Turut dikemukakan dalam lima cadangan berkenaan ialah pemberian geran khas kepada pengusaha kantin sekolah dan bantuan khusus pekerja kantin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, ramai pengusaha kantin di seluruh negara ketika ini turut terjejas ekoran penutupan sekolah semasa PKP.

“Geran khas ini akan membantu pengusaha yang terjejas untuk memulakan semula operasi apabila sekolah dibuka semula nanti.

“Manakala bantuan khusus pekerja kantin pula akan membantu lebih 70,000 pekerja kantin sekolah seluruh negara yang terlibat kerana kebanyakannya tidak boleh memohon skim upah pekerja sedia ada,” katanya.