Belanjawan 2021: DPIA kemuka 10 cadangan bantu usahawan

Sohaimi Shahadan
Sohaimi Shahadan
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan disarankan memberi bantuan dengan mengutamakan usahawan, peniaga dan majikan terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) melalui pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat ini.

Sehubungan itu, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, DPIA mengambil inisiatif mengemukakan beberapa cadangan daripada pemain sektor perniagaan yang mempunyai cabaran tersendiri kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, antara 10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi ketika negara berhadapan krisis pandemik Covid-19 termasuklah moratorium dilanjutkan secara automatik sekurang-kurangnya tiga bulan atau sehingga enam bulan.

"Kedua, kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akaun satu sekurang-kurangnya RM5,000 dan menyediakan peruntukan kepada para graduan menganggur mahupun yang telah diberhentikan kerja.

"Peruntukan juga perlu disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan menganjurkan projek berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, usahawan di Sabah dan Sarawak perlu diberi lebih bantuan kewangan (soft loan) untuk membolehkan mereka mempunyai daya saing dengan rakan usahawan di Semenanjung.

"Selain itu, usahawan belia dan lepasan universiti diberi modal untuk memulakan perniagaan online dan offline serta melanjutkan bantuan subsidi upah sehingga 2021," katanya lagi.

Mengulas lanjut, tiga lagi cadangan ialah pembiayaan pinjaman atau geran khas bagi memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menarik taraf penggunaan pemasaran digital dan pembelian keperluan teknologi maklumat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, usahawan wanita juga perlu diberi pinjaman mudah untuk memperkasakan usahawan wanita dan terakhir memudahkan keperluan standard, halal dan kelulusan untuk operasi kilang yang dimiliki perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

“Bantuan itu disifatkan penting bagi menyelamatkan perniagaan atau firma, perniagaan besar, sederhana dan kecil yang ternyata terkesan dalam keadaan yang tidak menentu ini.

“Kerajaan wajar mencari pendekatan dalam membantu sektor perniagaan yang terus terjejas sehingga menyebabkan ramai peniaga terpaksa gulung tikar. Kesan itu akan menyebabkan ramai yang kehilangan kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Sohaimi memberitahu, kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan itu terutama bantuan tambahan kepada golongan PKS yang mengakui bantuan sebelum ini tidak mencukupi.

“Saya amat berharap kerajaan prihatin mendengar suara rakyat yang kian tersepit. Kita tidak mahu jika akhirnya rakyat terpaksa meminjam wang dengan pihak yang salah dan timbul pula masalah sosial,” ujarnya.