Belanjawan 2021: Kelantan mohon RM500 juta maju sektor pertanian

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
A
A
A

PASIR PUTEH - Kelantan memohon peruntukan lebih RM500 juta bagi memajukan sektor pertanian membabitkan 61 projek yang memberi faedah kepada 30,000 petani di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan itu wajar memandangkan Kelantan ketinggalan jauh dalam sektor pertanian berbanding dengan negeri-negeri lain.

“Sebilangan besar peruntukan itu bagi membangunkan infrastruktur dan menambah baik projek-projek sedia ada menerusi agensi-agensi kerajaan negeri dan Pusat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tuan Mohd Saripudin yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising berkata, antara projek yang bakal dilaksanakan adalah menaik taraf Pelabuhan Perikanan Tok Bali di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain itu, menurutnya, peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk meneruskan projek tanaman nanas berskala besar, tanaman kelapa pandan dan matag bagi menggantikan tanaman pokok-pokok kelapa yang kini semakin tua dalam usaha menambah sumber baharu makanan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang memajukan tanaman durian musang king terutama di kawasan hulu Kelantan yang berpotensi mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara di samping memberi pendapatan lumayan kepada petani yang mengusahakannya.

“Selain itu, kerajaan negeri bercadang akan memperluaskan lagi projek ternakan ikan air tawar di Zon Akuakultur di Tok Uban, Pasir Mas iaitu salah satu projek akuakultur terbesar di Kelantan,” katanya.

Katanya, pada masa ini kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM150,000 setiap tahun bermula tahun lepas tetapi tidak mencukupi bagi melaksanakan projek-projek itu secara lebih luas untuk memberi faedah kepada lebih ramai kepada petani. - Bernama

Artikel Berkaitan: