ZPP salur RM5.35 juta Bantuan Dermasiswa Pengajian

Amran (tiga dari kiri) dan Ahmad Zakiyuddin (lima dari kiri) berbual dengan penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Dermasiswa Zakat Pulau Pinang di Hotel Ixora, Seberang Jaya semalam.
Amran (tiga dari kiri) dan Ahmad Zakiyuddin (lima dari kiri) berbual dengan penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Dermasiswa Zakat Pulau Pinang di Hotel Ixora, Seberang Jaya semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyalurkan Bantuan Dermasiswa Pengajian kepada 1,031 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran melalui agihan zakat fisabilillah melibatkan peruntukan sebanyak RM5.35 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, jumlah tersebut meliputi pembiayaan yuran pengajian pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi dalam negara dan luar negara.

Menurutnya, ia merangkumi pelajar yang belajar di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

“Bantuan juga meliputi pelajar yang melanjutkan pelajaran khususnya dalam bidang Pengajian Islam dan Kedoktoran di luar negara seperti di Mesir, Jordan, Morocco (Maghribi), Rusia dan Indonesia.

“Sebelum ini bantuan dermasiswa itu dikenali sebagai Bantuan Dermasiswa E-Minhah telah diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).

“Bagaimanapun, tahun ini ZPP akan menguruskan bantuan dermasiswa ini sepenuhnya dan dijenamakan semula sebagai Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Dermasiswa Zakat Pulau Pinang di Hotel Ixora, Seberang Jaya di sini semalam.

Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zakiyuddin (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Amran pada Majlis Penyampaian Dermasiswa Zakat Pulau Pinang di Hotel Ixora, Seberang Jaya semalam.
Ahmad Zakiyuddin (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Amran pada Majlis Penyampaian Dermasiswa Zakat Pulau Pinang di Hotel Ixora, Seberang Jaya semalam.

Amran berkata, usaha tersebut memberikan manfaat kepada pelajar yang bermastautin di Pulau Pinang untuk mendapatkan pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

“Ia juga membantu diri dan keluarga meningkat taraf kehidupan melalui kecemerlangan pendidikan.

“Hasrat dan tanggungjawab ZPP adalah untuk memastikan hala tuju dan matlamat penggunaan dana zakat sebagai pemangkin perkembangan sosio dan ekonomi ummah di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, beliau berharap pelajar yang menerima bantuan tersebut akan menggunakan amanah dana sebaik mungkin bagi memperjuangkan keagungan agama Islam.

Menurutnya, pelajar tersebut diharap dapat mengubah nasib umat, masyarakat dan keluarga ke arah yang lebih baik.

Dalam pada itu, pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk Jordan, Luqman Haqim Awang Kecil, 20, berkata, bantuan itu menjadi pendorong kepada pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

“Bagi saya, bantuan seperti ini perlu diteruskan kerana untuk pengetahuan umum, kos sara hidup di Jordan begitu tinggi.

“Sumbangan zakat ini amat membantu kami untuk meneruskan pengajian di sana selain dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga,” katanya.

Luqman yang merupakan anak ketiga dari lapan beradik itu menerima RM12,000 dari ZPP semalam.