Ferdinand persoal lilitan kapten Maguire

Harry Maguire
Harry Maguire
A
A
A

BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mempersoalkan kemampuan Harry Maguire memakai lilitan kapten pasukan The Red Devils selepas persembahan hambar dipamerkan ketika tewas kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Menurutnya, Maguire perlu membuktikan layak untuk memimpin pasukan dan menggesa pemain kebangsaan England itu untuk mempamerkan sifat kepimpinan di atas padang.

“United ketika ini kekurangan keyakinan di atas padang. Mereka nampak hebat dalam beberapa perlawanan sebelum ini namun terlalu cepat hilang arah.

"Saya lihat Maguire membuat beberapa komen selepas perlawanan dan dia seperti cuba memberikan sokongan kepada rakan-rakan yang lain. Dia perlu lakukan lebih daripada itu kerana dia adalah kapten," katanya.

Sebelum ini, United berjaya mengukir kemenangan bermakna ke atas Paris Saint-Germain dan RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan apabila tumpas kepada Arsenal di laman sendiri kelmarin.

Ferdinand menyifatkan kekalahan tersebut berpunca daripada kekurangan sifat kepimpinan di atas padang dan menuntut Maguire untuk melihat contoh dan gaya kepimpinan kapten United sebelum ini.

"Saya harap dia dapat memberikan lebih semangat kepada pemain lain. Saya tidak tahu adakah ia berlaku dalam pasukan ketika ini.

"Seseorang yang menjadi kapten United ini merupakan individu yang sangat berpengaruh dan memainkan peranan besar dalam bilik persalinan. Dia akan menjadi seseorang yang mampu menyedarkan pemain lain untuk memastikan terus bermain dan fokus.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingat ketika saya menjadi kapten United. Saya pernah bercakap dengan Nani dua atau tiga perkataan sahaja semasa perlawanan iaitu 'asist dan gol' atau 'cuba lakukan jaringan'. Itu sahaja.

"Tidak perlukan karangan panjang. Kadang-kadang perkataan ringkas dan tajam itu sudah cukup," katanya yang turut pernah menjadi kapten United.