Pertemuan Tengku Zafrul dengan pemimpin PH satu perkembangan positif

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hadir di pejabat Kementerian Kewangan, semalam. - Foto Twitter Tengku Zafrul, gambar kecil: Salleh Said Keruak
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hadir di pejabat Kementerian Kewangan, semalam. - Foto Twitter Tengku Zafrul, gambar kecil: Salleh Said Keruak
A
A
A

KOTA KINABALU - Kesediaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan dengan kerajaan untuk membentuk Belanjawan Perpaduan adalah satu langkah pertama yang sangat dialu-alukan demi meletakkan kepentingan rakyat mendahului politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, susulan pertemuan bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, PH juga mengemukakan beberapa cadangan demi memperkukuhkan lagi Belanjawan 2021 dan ini adalah satu perkembangan positif.

"Di serata dunia, kerajaan-kerajaan sedang bertungkus lumus untuk mencari penyelesaian kepada masalah kesihatan dan ekonomi yang dibawa oleh pandemik koronavirus (Covid-19).

"Apa yang kita lalui hari ini belum lagi berakhir dan ada kemungkinan keadaan akan menjadi bertambah buruk," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021: PN, UMNO, PH selesai kemuka cadangan

Beliau turut menyifatkan tahun 2020 ternyata sangat mencabar dan telah mengubah cara dunia berfungsi yang dipanggil sebagai 'normal-normal baharu'.

"Namun begitu, kita masih tidak tahu lagi apa sebenarnya 'normal-normal baharu' ini memandangkan kita kerap kali terpaksa mengubah 'peraturan-peraturan' itu demi menyelesaikan masalah yang timbul saban hari.

"Ekonomi maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah hanya mampu menghadapi konflik ini hari ini dan terpaksa mengubah pendekatan yang digunakan kerana pandemik Covid-19 sangat tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia masih ada peluang untuk mendahului dalam mencari penyelesaian terbaik sekiranya kita membuat perancangan yang rapi dan mengumumkan belanjawan yang kukuh," katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata, perkara itu boleh dilaksanakan jika rakyat Malaysia mengenepikan pendirian politik untuk seketika dan bekerjasama demi kebaikan negara.