Sedia lot bazar bantu golongan memerlukan

Aminolhuda (tiga, kiri) melihat produk yang dijual penyewa lot bazar, semalam.
Aminolhuda (tiga, kiri) melihat produk yang dijual penyewa lot bazar, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat kumpulannya, Larkin Property Berhad dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad menyerahkan 20 unit lot bazar di Larkin Sentral, di sini, untuk dimanfaatkan oleh golongan sasaran.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, lot bazar berkeluasan 100 kaki persegi itu diserahkan kepada asnaf, ibu tunggal dan mereka kurang berkemampuan.

Menurutnya, lot bazar yang dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik itu menelan belanja sebanyak RM1.3 juta dan dibiayai sepenuhnya menerusi dana Waqaf Saham Larkin Sentral (WSLS).

“Komitmen JCorp menyerahkan surat tawaran penyewaan lot-lot bazar di Larkin Sentral adalah sebahagian daripada peranannya melunaskan tanggungjawab korporat kepada golongan yang memerlukan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Inisiatif pembinaan lot-lot bazar ini juga adalah sebahagian daripada perancangan yang tertera dalam prospektus WSLS. Kerja-kerja pembinaan telah bermula sejak November 2017 dan telah siap sepenuhnya dan sedia memulakan operasi 1 Februari ini,” katanya.

Hadir menyempurnakan penyerahan surat tawaran penyewaan, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan.

Kamaruzzaman berkata, setiap penyewa yang layak diberikan tempoh sewaan sehingga lima tahun dengan kadar kira-kira RM400 sebulan.

“Sebanyak 46 permohonan diterima sejak tawaran penyewaan lot-lot bazar tersebut dibuka kepada orang ramai pada Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Namun hanya 20 pemohon sahaja berjaya melepasi saringan dan ditawarkan penyewaan,” katanya.

Katanya, penyewa lot bazar yang berkelayakan turut ditawarkan pembiayaan dari Dana Niaga Waqaf An-Nur bernilai antara RM3,000 hingga RM7,000 sebagai bantuan pinjaman tanpa faedah bagi memulakan perniagaan.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, usaha luar biasa JCorp itu adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan PH iaitu kebajikan tanggungjawab bersama.