Beri laluan kepada Warisan: Tok Mat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi tidak perlu diadakan jika semua parti mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) menyandang semula kerusi berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gesaan itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK berkenaan.

“Ini sebagai menghormati bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk V K Liew dan mengelakkan pilihan raya kecil diadakan waktu ini.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional bagi mengurangkan impak wabak koronavirus (Covid-19) kepada masyarakat. Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan dua pilihan raya berkenaan adalah tidak perlu serta bukan jalan terbaik.

Beliau berkata, beliau memahami kebimbangan Perdana Menteri tentang pengendalian PRK Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dalam situasi Malaysia masih berdepan dengan suasana pandemik.

“Untuk PRN Sarawak, tempoh matang DUN Sarawak ialah 7 Jun 2021. Jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021. Ini membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Saya sangat menyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” katanya.

Mohamad turut menyatakan keyakinannya dengan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya dalam apa pun keadaan dan memastikan demokrasi berjalan dengan sebaiknya.

“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaan paling getir sekalipun.

“Justeru, semua pihak mesti menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan Agong adalah terbaik: Tok Mat

Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat