Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat

 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.05 petang. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.05 petang. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini ketika ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu hari ini.

Menurut beliau, selepas melihat situasi yang sedang dihadapi negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Katanya, Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 itu dari terus merebak.


Berikut kenyataan yang penuh dikeluarkan:

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan Pahang pada Jumaat lalu (23 Oktober 2020).

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di Sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara


 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.05 petang. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.05 petang. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR