X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Keluarga konstabel polis maut nahas masih terkejut

Keluarga mangsa sebak ketika berada di luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Keluarga mangsa kemalangan maut yang meragut nyawa konstabel polis pagi tadi masih terkejut dengan berita sedih itu.

Hycinth Anak Joneka, 26, abang ipar kepada Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, berkata, beliau mengetahui tentang kejadian itu melalui panggilan telefon daripada ibu mertuanya di Sibu Sarawak kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Katanya, dia yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Permai Johor Bahru itu, dimaklumkan adik iparnya itu terlibat kemalangan.

"Ibu mertua telefon dan minta hubungi pegawai polis untuk dapatkan pengesahan. Selepas hubungi pegawai itu, saya dimaklumkan mendiang sudah berada di Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSI di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama isteri, Elizcavelynicy Unchi Anak Unggat, 23, menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Suasana pilu menyelubungi suasana pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail dengan kehadiran keluarga, rakan dan rakan sepasukan mangsa.

Hycinth
Hycinth

Menurut Hycinth lagi, adik iparnya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu melaporkan diri pada bulan April lepas di Balai Polis Bandar Datuk Onn Johor Bahru, setelah tamat mengikuti latihan di Pulapol Kuching, Sarawak.

"Kali terakhir saya bertemu dengan mendiang dua minggu lepas di rumah sewanya di Bandar Dato Onn. Mendiang kelihatan seperti biasa ketika itu.

"Mendiang seorang yang pendiam dan anak yang baik," katanya.

Jelasnya, jenazah mendiang akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sibu Jaya, Sarawak petang ini.

Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, maut manakala rakan setugasnya, Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, parah apabila kereta peronda polis (MPV) yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja pagi tadi.

Kejadian pada jam 5 pagi itu berlaku ketika mangsa mengejar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai dinaiki penjenayah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!