Konstabel polis maut ketika kejar penjenayah

Kenderaan dinaiki dua anggota polis terbalik selepas terlibat kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja.
Kenderaan dinaiki dua anggota polis terbalik selepas terlibat kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang konstabel polis maut manakala rakan setugas parah apabila kereta peronda polis (MPV) yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja pagi tadi.

Kejadian pada jam 5 pagi itu berlaku ketika mangsa mengejar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai dinaiki penjenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa, Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, yang memandu MPV berkenaan parah.

"Semasa berada di Jalan Tebrau, mendiang (Konstabel Nicholester Dadup) dan Mohammad Fadhirul yang bertugas di Balai Polis Dato Onn telah terserempak sebuah kereta Perodua Myvi mencurigakan sewaktu melakukan rondaan.

"Mereka seterusnya bertindak mengejar Perodua Myvi itu yang dipercayai dinaiki dua lelaki selepas kenderaan terbabit enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja, kereta MPV polis telah bergesel dengan Perodua Myvi terbabit dan berlanggar dengan sebuah kereta orang awam iaitu Perodua Aruz yang dinaiki dua lelaki.

Ayob Khan melawat keluarga konstabel polis yang maut di Bilik Forensik Hospital Sultan Ismail Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan melawat keluarga konstabel polis yang maut di Bilik Forensik Hospital Sultan Ismail Johor Bahru hari ini.

"Akibat perlanggaran itu, kereta MPV jenis Proton Waja terbalik yang menyebabkan Koperal Nicholester Dadup maut dan Lans Koperal Mohammad Fadhirul parah, manakala kedua-dua lelaki menaiki Perodua Aruz, cedera.

Artikel Berkaitan:

"Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki berkenaan berjaya melarikan diri dan polis kini sedang mengesan suspek bersama kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, mayat mendiang akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak petang ini, manakala Mohammad Fadhirul yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak kini sedang dirawat di di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail.

Katanya, Koperal Nicholester Dadup sudah berkhidmat di Balai Polis Bandar Dato Onn sejak April tahun ini.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kamsani Aswan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada jam 6.24 pagi.

Katanya, tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.