Griezman berang Barca gagal tewaskan Alaves

Griezman (tengah), cuba melepasi kawalan pertahanan Alaves pada perlawanan berkenaan. - Foto news.cgtn.com
Griezman (tengah), cuba melepasi kawalan pertahanan Alaves pada perlawanan berkenaan. - Foto news.cgtn.com
A
A
A

BINTANG Barcelona, Antoine Griezman berang apabila pasukannya itu gagal menewaskan Deportivo Alaves yang beraksi hanya dengan 10 pemain pada saingan La Liga, awal pagi semalam.

Griezman berkata, kegagalan meraih tiga mata pada aksi berdepan skuad Babazorros itu telah menyebabkan pasukannya kini semakin jauh dengan pendahulu, Real Madrid dengan perbezaan lapan mata.

Malah menurut pemain kebangsaan Perancis itu, kesebelasan skuad Blaugrana itu juga dilihat gagal membolosi gawang lawan yang dikawal kemas oleh penjaga gol, Fernando Pacheco.

“Kami marah kerana kami sememangnya mahukan tiga mata daripada perlawanan ini. Kami gagal di depan pintu gol lawan. Saya juga gagal.

“Kita memiliki banyak peluang, tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol. Kami perlu bekerja lebih keras selepas ini.

“Pasukan ini perlukan gol daripada saya dan saya akan cuba meningkatkan diri untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pemain Alaves, Luis Rioja mengejutkan pelawat apabila membuka jaringan pada minit ke-31, hasil kesilapan yang dilakukan penjaga gol Barca, Neto.

Biarpun cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun pelawat hanya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi jaringan Griezman setelah pemain Alaves, Jota diperintahkan keluar padang setelah dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-61.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan berkenaan menyaksikan Barcelona kini berada pada kedudukan ke-12 dengan lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan tewas dua kali daripada enam perlawanan berbanding Alaves yang berada pada kedudukan ke-13 dengan lapan mata mata hasil dua kemenangan, dua seri dan tewas empat kali daripada lapan perlawanan setakat ini.

Sementara itu Griezman menegaskan Barcelona perlu segera bangkit menjelang aksi Liga Juara-Juara berdepan Dynamo Kiev, di Nou Camp Rabu ini sebelum berdepan Real Betis di venue sama pada 7 November.

“Kita perlu segera ‘meningkat’ dan bekerja keras. Kita perlu bertenang kerana saingan liga masih jauh.

“Masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki dan kita akan cuba menang bermula dengan perlawanan berdepan Dynamo Kiev nanti,” katanya.