Belanjawan 2021: Tengku Zafrul bertemu pemimpin PH esok

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) esok bagi membincangkan mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Menurut laporan portal The Malaysian Insight perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima jemputan berkenaan.

Pertemuan tersebut merupakan siri perbincangan yang diadakan oleh Tengku Zafrul dalam usahanya untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk semua parti-parti politik di Malaysia sebelum pembentangan Bajet 2021.

Antara pemimpin parti politik yang telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul ialah Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Turut dijangka bertemu dan berbincang dengan Tengku Zafrul ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang pada hari ini telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa beliau akan berjumpa dengan Menteri Kewangan tersebut dalam masa terdekat.

Terdahulu, Agong dalam titahnya telah menasihatkan ahli-ahli politik supaya bersatu untuk meluluskan Belanjawan 2021.

Susulan daripada titah tersebut, terdapat beberapa parti politik antaranya ialah UMNO dan PH yang telah mengambil keputusan setelah bermesyuarat untuk menjunjung titah Agong bagi bersama-sama menjayakan Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

Pakatan Harapan
Pakatan Harapan