Polis tahan lima remaja, dalang geng SYM Jajar

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun adalah di antara enam lelaki yang ditahan polis kerana disyaki menjadi anggota Geng SYM Jajar, kumpulan pecah rumah dan mencuri motosikal yang terlibat dalam lebih 50 kes di Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata empat lagi remaja lelaki berumur antara 16 dan 17 tahun serta seorang dalang kumpulan itu yang merupakan seorang lelaki berumur 23 tahun turut ditangkap dalam serbuan pada hari Sabtu dan Selasa lepas.

“Tiga daripada mereka ditahan di kawasan pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth pada kira-kira pukul 1 pagi Sabtu lepas manakala tiga lagi di Tasek Gelugor kira-kira pukul 11 pagi Selasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis SPU.

Menurutnya polis turut merampas 15 unit motosikal yang dianggar bernilai kira-kira RM60,000, beberapa komponen dan kerangka motosikal, 90 kotak rokok pelbagai jenama dan sejumlah duit syiling yang dipercayai hasil curi kumpulan berkenaan.

“Siasatan mendapati geng itu terlibat sekurang-kurangnya dalam 26 kes curi motosikal, 15 kes pecah rumah serta kedai dan 10 kes memecah kerusi mesin urut di daerah SPU,” katanya.

Noorzainy berkata geng itu juga dipercayai terlibat dalam beberapa lagi kes curi motosikal, pecah rumah dan kedai yang dilaporkan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kulim di Kedah sejak tahun lepas.

Beliau berkata keenam-enam suspek itu memiliki rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, dan menurutnya polis sedang berusaha mengesan beberapa lagi motosikal yang dilaporkan dicuri di daerah ini dan daerah-daerah yang berdekatan.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan penangkapan tiga orang lelaki berumur antara 19 dan 20 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian duit tabung masjid dan surau di SPU, SPT dan Sungai Petani di Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Dua orang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan ujian air kencing mendapati mereka semua positif mengambil dadah,” katanya.- Bernama