X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberian pas sementara kepada PATI diputar belit: Jeffrey

Artikel turut dikongsikan di Facebook Laman Rasmi Parti Warisan Sabah sejak malam tadi. Gambar kecil: Jeffrey Kitingan
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyelar kenyataan disiarkan di sebuah blog yang menyindir bahawa kerajaan Persekutuan akan memberikan pas khas kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Blog itu menggunakan gambar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jeffrey walaupun ia tiada kena mengena dengan catatan itu.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, tulisan di blog itu telah dimainkan di media sosial adalah mengelirukan dan berniat jahat.

"Perdana Menteri hanya merujuk kepada situasi di Semenanjung dan pas sementara itu tidak sama seperti Pas Sementara Sabah (PSS) yang dipertahankan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pada awal tahun ini.

"Cadangan itu bagi membolehkan PATI yang terkandas di negara ini bekerja di ladang kelapa sawit dan getah dengan menggunakan pas sementara yang membolehkan mereka bekerja selama satu atau dua tahun sebelum digantikan oleh pekerja sah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jeffrey berkata, Sabah mempunyai dasar sendiri berhubung buruh dan imigresen yang mana kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan.

"Keadaan di Sabah berbeza di mana kadar pengangguran sudah sedia tinggi dan dengan pemberian pas khas itu kepada PATI, sama seperti mencuri peluang pekerjaan rakyat Sabah.

"Kerajaan Sabah yang baharu tidak mahu mengulangi kesilapan Warisan. Rakyat Sabah sudah suarakan dan jelas mereka tidak akan bertolak ansur dengan perkara mengarut itu," katanya.

Jeffrey turut menasihatkan pihak pembangkang supaya akur pada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta semua pihak berhenti bermain politik.

"Ini adalah masa kita berhadapan dengan krisis terutama di Sabah di mana jumlah jangkitan koronavirus (Covid-19) yang tinggi belum menunjukkan tanda ia berhenti.

"Daripada memutarbelitkan setiap perkataan yang keluar daripada mulut pemimpin kerajaan, saya rasa mereka seharusnya menyumbangkan idea untuk memerangi wabak ini," katanya.

Terdahulu, sebuah artikel bertajuk 'TV3 Lapor, Muhyiddin Mahu Maafkan, Putihkan, Halalkan Dan Beri Pas Sementara Kepada PTI' dimuat naik menerusi sebuah blog dan turut dikongsikan di Facebook Laman Rasmi Parti Warisan Sabah sejak malam tadi.

Semalam, media melaporkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi permit kerja sementara kepada PATI yang berada di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!