KPKT teruskan 62 projek rumah PR1MA terbengkalai

Zuraida (dua dari kanan) merasmikan Ibu Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Taman Klebang Utama, Klebang hari ini.
Zuraida (dua dari kanan) merasmikan Ibu Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Taman Klebang Utama, Klebang hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan sebanyak 62 projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang terbengkalai.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah itu membabitkan projek pembinaan mencapai tahap 15 peratus kemajuan manakala yang masih di peringkat permulaan terpaksa dihentikan dan pemiliknya diberikan pampasan.

"Sebanyak 94 projek rumah PR1MA yang terbengkalai, namun 62 daripadanya akan diteruskan dan baki 32 lagi akan dihentikan.

"Mana-mana yang kita rasa tidak produktif dan tidak mendatangkan keuntungan, kita akan serahkan balik kepada pemilik dengan bayaran pampasan diberikan," katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Taman Klebang Utama, Klebang di sini hari ini.

Menurutnya, projek yang dihentikan itu diambil kira selepas melihat kedudukan tanah sama ada ia boleh dibangunkan ataupun sebaliknya.

"Di Melaka terdapat enam projek yang kini kembali diteruskan, manakala baki lapan projek ditamatkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan bagi projek Perumahan PR1MA masih dibuka kepada yang berminat walaupun tanpa pembangunan projek baharu.

"Permohonan PR1MA masih dibuka sehingga Mei 2021. Saya boleh katakan permintaannya sangat baik sepanjang tempoh wabak koronavirus (Covid-19) ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan permohonan yang diterima dan diluluskan membabitkan golongan muda menerusi Home Ownership Campaign (HOC)," katanya.