Harga minyak sawit mentah lepas paras RM3,100 setan

Ahmad Jazlan Yaakub
Ahmad Jazlan Yaakub
A
A
A

BANGI - Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara melebihi paras RM3,000 setan.

Harga purata MSM telah melonjak kepada RM3,134.00 setan pada 26 Oktober 2020 berbanding paras terendahnya pada tahun 2020, iaitu RM2,021.50 setan pada 12 Mei 2020 dengan peningkatan sebanyak RM1,112.50 setan atau 55 peratus.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, peningkatan harga MSM itu didorong oleh faktor permintaan MSM global yang tinggi daripada pembeli utama termasuk India dan China.

“Permintaan MSM dari India dijangka terus meningkat bagi menambah bekalan stok minyak sayuran di pasaran domestiknya sebagai persiapan untuk Festival Diwali pada bulan November ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Jazlan, permintaan MSM dari China juga dijangka terus meningkat menjelang Festival Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) dan Minggu Keemasan (Golden Week) bermula Oktober ini.

"Selain itu, pengukuhan harga minyak kacang soya (SBO) di US Chicago Board of Trade (CBOT) dan di China’s Dalian Commodity Exchange menyokong kenaikan harga MSM. Harga MSM juga dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak kacang soya kerana kedua-duanya bersaing di dalam pasaran minyak sayuran global.

“Peningkatan harga ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah ia turut memberi manfaat kepada pekebun dan pemain industri Sawit di Malaysia yang mana kita semua maklum rakyat sedang bergelut dengan sumber kewangan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Diharap harga sawit terus kekal di paras melepasi RM3,000 setan dan kelangsungan sawit negara," katanya.

Artikel Berkaitan: