X

Kindly register in order to view this article
!

Lemas mahu selamatkan bot hanyut

Mayat mangsa lemas dibawa menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Jeti Nelayan Sungai Pulai pagi tadi.
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penternak kupang yang hilang selepas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Perairan Sabak Bernam ditemui lemas pagi tadi.

Mayat mangsa, Jam Md Ross, 43, ditemui pada jam 9.20 pagi tadi oleh nelayan dalam keadaan terapung kira-kira 4.2 batu nautika dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Nelayan Sungai Pulai oleh bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Sebaik tiba di jeti, mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) ditamatkan pada jam 10 pagi ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan.

"Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, orang awam bolehlah menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31769100/0627 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan dari pusat gerakan operasi negeri berhubung kejadian pada jam 4.44 petang semalam.

Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

"Menurut keterangan saksi, mangsa bersama dua rakan ke kelong kupang untuk memindahkan kupang yang diternak.

"Bot mangsa yang diikat di kelong terlucut ikatan, mangsa cuba untuk mengambil bot yang hanyut tersebut, namun terjatuh ke dalam laut," katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pada hari ini dengan disertai lima anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam.

"Mangsa telah ditemui pada jarak dua kilometer dari kelong mangsa terjun menghala ke arah tengah laut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!