X

Kindly register in order to view this article
!

Darurat wajar untuk elak pilihan raya

Abdul Aziz
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain bersetuju sekiranya perintah darurat dilaksanakan sebagai satu intervensi berperlembagaan untuk mengelak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Beliau berkata, ia sekali gus mengelak lebih ramai jiwa terkorban akibat penularan koronavirus (Covid-19) seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"PRN Sabah adalah satu kesilapan dan pengajaran berharga kerana kerajaan telah membiarkan ia berlangsung walhal risiko kepada penularan wabak yang lebih pantas dan menyeluruh sudah dijangkakan.

"Saya selalu berpendapat bahawa kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya campur tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz turut mencadangkan selepas kes Covid-19 reda, barulah kerajaan boleh mempertimbangkan sama ada untuk membubarkan Parlimen atau sebaliknya.

Katanya lagi, situasi terkini menunjukkan negara berdepan dengan kemelut kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang mengakibatkan rakyat terkesan untuk melangsungkan kehidupan yang normal.

"Oleh itu, negara kita tidak mampu untuk berdepan dengan satu lagi kemelut yang besar iaitu kemelut politik, jadi adalah wajar sekiranya 'status quo' politik dikekalkan demi rakyat dan kestabilan sosioekonomi," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, usaha pelbagai pihak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak berjaya.

"Kita sedia maklum bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang bergelut dengan perebutan kuasa dari pelbagai pihak dan arah.

"Dewan Rakyat telah pun menerima belasan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, sama ada daripada pihak parti kerajaan sendiri mahu pun pihak pembangkang namun kalau dicongak-congak, tiada siapa pun memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan tetapi kemungkinan cukup bilangan untuk mensabotaj setiap usul Belanjawan, walaupun usul tidak percaya itu berkebarangkalian tidak berjaya," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pertimbangan itu juga perlu mengambil kira risiko kesihatan dan ekonomi berdasarkan situasi terkini.

"Secara total, walaupun mungkin ia satu pendekatan politik yang luar biasa, darurat bersyarat mungkin jalan yang terbaik dan bersesuaian dengan keadaan semasa negara dan global," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!