X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat United perlu mula dari bawah

Laporan Sinar Harian semalam. (Gambar kecil: JAMAL NASIR)
A
A

PASUKAN Rakyat United dinasihatkan supaya tidak menjadi pasukan ‘mi segera’ sebaliknya perlu bermula dari bawah sekiranya mahu menyertai kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Rakyat United seharusnya menyertai Liga M3 terlebih dahulu dan tidak menggunakan jalan pintas untuk terus bermain di peringkat tertinggi liga di negara ini.

“Seharusnya mereka main di Liga M3 dulu. Takkan senang-senang nak terus main di Liga Super. Mencipta sesebuah pasukan ini bukan bertujuan untuk mencari glamor saja sebab boleh bermain di Liga Super, tetapi lebih daripada itu.

“Jangan kerana Felda United nak tarik diri, mereka ambil kesempatan untuk dapatkan lesen penswastaan itu.

“Kalau mereka betul-betul bagus, setahun demi setahun mereka akan dapat naik bermain di Liga Premier dan kemudian Liga Super. Jangan gelojoh dan jangan jadi pasukan mi segera, nanti boleh mengundang banyak masalah kepada pasukan itu sendiri.

“Mereka kena buktikan ada misi dan visi yang betul untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, arena bola sepak negara dikejutkan dengan kemunculan sebuah pasukan baharu dikenali sebagai Rakyat United yang didakwa diuruskan oleh pengurusan lama Felda United.

Rakyat United kini giat mencari pemain untuk beraksi bersama pasukan utama yang dilaporkan bakal menyertai saingan Liga-M dengan menawarkan gaji bermula RM3,000 hingga RM5,000.

Menurutnya, tindakan pengurusan Rakyat United yang mahu merekrut pemain dengan gaji maksimum RM5,000 itu juga membuktikan mereka tiada perancangan rapi dalam membentuk pasukan.

“Apabila mereka terlebih dahulu menyertai Liga M3, mereka boleh bermula dengan bajet yang kecil. Malah, gaji yang mereka nak tawarkan kepada pemain juga adalah kadar untuk saingan Liga M3.

“Macam mana mereka nak bersaing dalam saingan Liga Premier atau Liga Super? Saya tak rasa ada pemain profesional yang akan pergi ke pasukan itu dengan gaji seperti itu.

“Sebab itu saya nasihatkan mereka bermula daripada Liga M3, selepas itu bina pasukan dan cari penaja seterusnya menjadi pasukan yang kukuh.

“Kalau nak bersaing dalam Liga Premier dan Liga Super, mereka kena keluarkan wang yang lebih banyak. Dalam keadaan Covid-19 ini, mana ada penaja hendak keluarkan tajaan dalam jumlah yang banyak,” ujarnya.

Pada masa sama, Jamal Nasir turut mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bertegas dan tidak meluluskan dengan mudah penukaran sesebuah pasukan.

“Saya risau kalau semudah itu untuk tukar pemilikan pasukan, ia akan memberikan kesan buruk kepada bola sepak negara. Ketegasan yang ditunjukkan FAM juga saya puji agar pasukan-pasukan ini perjalanan mereka tidak terhenti separuh jalan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!