Kes tipu peraduan sasar warga emas tumpas

Muhammad Yazid (tengah) menunjukkan kad ATM milik mangsa yang dirampas susulan tertangkapnya suspek di kediamannya di Pelabuhan Klang, Selangor pada Sabtu lalu.
Muhammad Yazid (tengah) menunjukkan kad ATM milik mangsa yang dirampas susulan tertangkapnya suspek di kediamannya di Pelabuhan Klang, Selangor pada Sabtu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang menyamar sebagai pengarah urusan pasar raya sebelum mendekati mangsa warga emas dengan menawarkan hadiah kemenangan berupa kereta berjaya diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, di kediamannya di Pelabuhan Klang, Selangor pada Sabtu lalu.

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, suspek berusia 41 tahun itu dikesan aktif melakukan penipuan peraduan sejak Ogos lalu diberkas kira-kira jam 2 petang.

"Serbuan ini bertindak merampas pakaian yang digunakan suspek semasa kegiatannya, 158 keping kad perniagaan tertera nama pasar raya dan enam lesen memandu, 32 kad ATM serta 10 kad kredit milik mangsa.

"Semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau bersabit kesalahan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Kad perniagaan tertera nama pasar raya yang digunakan suspek untuk memperdaya mangsa.
Kad perniagaan tertera nama pasar raya yang digunakan suspek untuk memperdaya mangsa.

Mengulas berkenaan modus operandi suspek, Muhammad Yazid berkata, suspek yang tidak bekerja ini akan mendekati mangsa terdiri daripada warga emas yang datang ke pasar raya secara sendirian.

Kemudian, suspek akan memperkenalkan diri sebagai pengarah urusan dan memberitahu mangsa bertuah dalam peraduan yang dipilih secara rawak untuk memenangi kereta yang ditawarkan iaitu Toyota Vios dan Toyota Avanza.

Beliau berkata, mangsa yang terperdaya akan diarah untuk menyerahkan lesen memandu, kad kredit dan kad ATM kononnya sebagai pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, untuk rekod, pihaknya telah menerima laporan membabitkan 46 mangsa berusia 65 hingga 70 tahun membabitkan kerugian RM465,542.

"Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang pernah menjadi mangsa membabitkan kes sedemikian untuk segera tampil di balai polis bagi membantu siasatan. Orang ramai juga dinasihati untuk lebih berwaspada dengan pihak tidak dikenali yang menggunakan modus operandi sebegini.